Sunday, 22 June 2014

Krisis Lahad Datu Dari Hubungan Antarabangsa

Tragedi 1 Mac 2013 yang menggemparkan negara apabila dua orang anggota polis telah terkorban semasa bertempur dengan penceroboh berbangsa Sulu dimana mereka telah mendiami Lahad Datu, Sabah selama 3 minggu. Tidak lama selepas itu, beberapa lagi orang polis telah dibunuh dengan kejam di Semporna dimana polis tersebut telah diperlakukan seperti haiwan sehingga kerajaan bertindak melakukan serangan balas secara besar-besaran. Tragedi berdarah ini mengajar kita tentang betapa pentingnya kedaulatan negara kita serta mengajar kita erti perjuangan. Namun begitu, hak penuntutan Sabah ini telah lama berlaku malah sebelum dari pembentukan Malaysia lagi iaitu pada tahun 1963. Pentingnya bagi rakyat Malaysia untuk mengenali sejarah negara yang berlaku agar tahu akan kepentingannya kepada negara selain dapat membuktikan bahawa perebutan yang berlaku pada masa kini iaitu di antara Filipina (semenjak penubuhan Malaysia) dan juga Kesultanan Sulu (semasa zaman penjajahan Barat) adalah usaha yang sia-sia.

Pencerobohan Pertama
Malaysia telah digemparkan dengan kehadiran sekumpulan warga asing yang telah memasuki Sabah pada pagi Selasa 12 Februari 2013, kemasukan mereka secara mengejut telah membuatkan kerajaan dan pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga akan sebarang ancaman yang bakal tiba dan kumpulan penceroboh ini dikatakan telah berada di salah sebuah daerah iaitu Lahad Datu dan seramai lebih dari 100 orang daripada mereka memiliki senjata api, pada awalnya kemasukan mereka ke Sabah adalah disebabkan masalah atau pergolakan yang berlaku di selatan Filipina. Menurut Ketua Polis Negara “Pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung kawasan tersebut dan mengarahkan kumpulan tersebut meletakkan senjata serta menyerah diri” tambah beliau lagi “keadaan kini adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang”.[1]Pasukan polis dan unit komando telah dihantar bagi mengawal situasi yang berlaku manakala pasukan tentera pula berada dalam keadaan bersiap sedia. Kumpulan ini dikatakan berpakaian ala tentera dan telah menyeludup masuk ke Sabah dan dikatakan mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu dengan menggunakan bot pancung tetapi sehingga jam 10 malam pihak polis belum dapat mengetahui lagi apa tujuan sebenar kempulan bersenjata tersebut datang ke Lahad Datu sama ada ingin melakukan sebarang aktiviti keganasan di kawasan bandar tersebut ataupun tidak. Manakala respon daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen secara terperinci mengenai kemasukan kumpulan penceroboh yang bersenjata tersebut dan hanya berkata “tunggu kenyataan daripada Ketua Polis Negara”.Menurut Jabatan Petugas khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata polis Sabah masih menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut. Manakala menurut Ketua Polis Sabah pula, Datuk Hamza Taib, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kemasukan penceroboh tersebut dan menyatakan bahawa mungkin akan mengadakan satu sidang media pada hari Khamis. Dari segi persiapan pihak berkuasa dalam menangani kemasukan penceroboh yang memiliki senjata, mereka telah mengambil ‘semua tindakan perlu’ supaya dapat memastikan keselamatan kawasan yang telah diceroboh dan juga di seluruh Sabah, selain itu, beberapa pulau telah disyaki menjadi kawasan untuk aktiviti penceroboh tersebut dan sudah dikenal pasti lokasi pulau-pulau tersebut. Menurut sumber daripada Harian Metro menyatakan bahawa kemasukan warga asing atau penceroboh ini mempunyai kaitan terhadap kedaulatan Sabahnamun siasatan terperinci masih lagi dijalankan oleh pihak polis bagi menentukan motif sebenar kejadian yang berlaku.[2]

Bukan Militan & Dua Tuntutan
Sehari selepas kemasukan mereka diketahui pihak berkuasa, mereka telah membuat pengakuan bahawa mereka ingin dikenali sebagai “Tentera Diraja Kesultanan Sulu” malah tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana militan. Mereka juga memberi jaminan bahawa akan meninggalkanNegara ini dalam masa yang secepat mungkin apabila selesai membuat perbincangan dengan pihak perunding Negara menerusi saluran yang betul. Kawasan Penceroboh ini telah dikepung oleh pihak berkuasa dan telah mengarahkan penceroboh untuk menyerah diri.[3] Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar penceroboh ini juga telah membuat tuntutan bahawa ingin diiktiraf sebagai Tentera Kesultanan Diraja Sulu. Manakala tuntutan kedua pula adalah menggesa kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar semula rakyat di Sabah yang berketurunan Sulu dimana telah menetap lama dinegeri ini.Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa mereka menceroboh masuk ke negeri Sabah ini dengan niat tuntutan tersebut.Berikut adalah petikan daripada Tan Sri Ismail Omar berkenaan tuntutan penceroboh tersebut.“Kita lihat tuntutan yang dibuat ini lebih kepada meminta sesuatu daripada kerajaan.Ini adalah salah kerana mereka sepatutnya menggunakan saluran yang betul.Ketika ini pasukan keselamatan kita sedang mengepung kumpulan terbabit dan meminta agar mereka meninggalkan kawasan tersebut secepat mungkin”.[4]

Penceroboh Bukan Pengganas
Menurut kenyataan dari Putrajaya, hasil perisikan yang telah dilakukan mendapati kumpulan penceroboh ini bukanlah pengganas malah menyatakan bahawa mereka ini tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti keganasan seperti pengeboman ataupun penculikan. Sebelum ini, mereka (penceroboh) telah menyatakan bahawa mereka bukannya militan dan ingin dikenali sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu, menurut Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid “tidak ada lagi rundingan dengan kumpulan tersebut yang sebelum ini menuntut supaya rakyat Sulu berada di negeri ini tidak dihantar pulang ke negara asal mereka. Polis tidak boleh melayan apa sahaja tuntutan yang diminta kumpulan tersebut kerana permintaan itu dibuat tanpa mengikut saluran yang betul.Sehubungan itu katanya, polis terpaksa menghantar pulang kesemua ahli kumpulan tersebut kerana mereka berada di negara ini menerusi cara salah.”

Persetujuan untuk Beredar
Kumpulan penceroboh yang memasuki Lahad Datu pada 12 Februari telah bersetuju akan keluar dari Lahad Datu tetapi ingin bertemu dengan personaliti tertentu sebelum meninggalkan Sabah dan kembali ke Negara asal. Pihak berkuasa sedang berusaha untuk membawa individu yang hendak dijumpai tetapi tidak mahu mendedahkan identiti individu tersebut. Namun begitu, Sultan Sulu iaitu Datu Esmail Datu Kiram akan datang ke negeri Sabah dan telah disahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah iaitu Datuk Hamza Taib dan beliau turut menambah lagi ianya sebahagian daripada usaha untuk membawa keluar kumpulan penceroboh tersebut dan kumpulan ini masih lagi berada di Lahad Datu iaitu di Felda Sahabat 17.[5]Begitulah kronologi awal sewaktu pencerobohan yang mencabar kedaulatan Negara dimana telah menyebabkan kematian beberapa orang polis dan memaksa rakyat yang berada di Lahad Datu terpaksa menjadi pelarian di negeri sendiri.

Persoalan berikutan isu di Lahad Datu dan Tuntutan ke atas Sabah
Adakah Sultan Jamalul Kiram III ini masih mempunyai hak dan kuasa untuk memiliki Sabah?Terdapat banyak perkara yang telah berlaku sepanjang penuntutan Sabah sejak daripada pembentukan Malaysia lagi iaitu pada tahun 1963.Sehingga kini kuasa yang dimiliki Sultan Sulu ini dikatakan tidak sah malah turut tidak diiktiraf oleh kerajaan Filipina pada suatu ketika dulu. Bahkan Keturunan Sultan Sulu sebelum ini juga telah dikatakan kehilangan kuasa semenjak pendudukan Amerika Syarikat dimana telah terikat dengan sebuah perjanjian Carpenter. Maka, peristiwa lama perlu dikaji semula supaya dapat mengenal pasti siapa yang sepatutnya mempunyai hak pemilikan Sabah kerana hanya sejarah sahaja yang mampu menceritakan segala-galanya.Berikut adalah faktor yang menghalang Sultan Sulu termasuklah seluruh keturunannya untuk mendapatkan semula wilayah Sabah.

Pajakan 1878
Isu penuntutan ini bukanlah isu yang baru kerana tuntutan ini telah lama berlaku sejak dari zaman kolonial lagi dan dikatakan bermula pada 22 Januari 1878 berpunca daripada perjanjian yang telah dipersetujui antara dua pihak iaitu Sultan Jamal ul-Azam (Sultan Sulu)  dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent berhubung dengan wilayah Sabah (dikenali sebagai Borneo Utara) dan jika diteliti pada perjanjian antara kedua-dua belah pihak, Sultan Sulu ketika itu telah bersetuju menyerahkan atau memajak Sabah (Borneo Utara) untuk selama-lamanya dengan bayaran tahunan sebanyak $5,000.[6]Wilayah yang dimiliki Sultan Sulu ini asalnya adalah milik Brunei dan telah menyerahkannya kepada Sultan Sulu sebagai membalas jasa Sultan Sulu yang telah membantu menewaskan pemberontakan dalam wilayah milik Brunei tetapi tidak ada bukti secara bertulis yang menyatakan tentang penyerahan ini, namun para tokoh sejarah mengakui bahawa Borneo Utara telah dimiliki Sultan Sulu pada awal abad ke-18.[7] Pada 1877 iaitu setahun sebelum Pajakan 1878 Overbeck dan Alfred Dent telah memperolehi seluruh wilayah di pantai barat Borneo daripada Sultan Abdul Mumin Brunei dengan bayaran sebanyak $4,000 setahun melantik Overbeck sebagai pemerintah tertinggi wilayah Gaya dan Sandakan dengan gelaran Maharaja Sabah. Kemudiannya mereka cuba mendapat wilayah yang dimiliki oleh Sultan Sulu selepas mengetahui bahagian pantai timur laut Borneo bukan milik Brunei lalu membuat perjanjian pajakan 1878 untuk mendapatkanwilayah yang dikatakan milik Sultan Sulu yang berada di sebelah pantai timur laut Borneo, dimana penyerahan wilayah Sabah dilakukan dalam dua fasa. Pertama, mensyaratkan bahawa hak dan keistimewaan pemberian itu tidak sekali-kali boleh untuk menukar pemilik ke atas wilayah ini kecuali mendapat kebenaran daripada Konsol Besar British di Borneo dan fasa kedua pula, sebarang pertikaian yang berlaku antara Overbeck atau Syarikat Borneo Utara British (Alfred Dent) dengan Sultan Sulu, waris atau penggantinya hendaklah dirujuk kepada Konsol Besar Baginda Queen di Borneo untuk diselesaikan.[8]Secara tidak langsung penyerahan yang berlaku ini telah menunjukkan bahawa Sultan Sulu pada ketika itu telah kehilangan kuasa ke atas wilayah Borneo Utara atau Sabah. Malah, wilayah ini juga turut menjadi rebutan Sepanyol apabila membuat perjanjian dengan Sultan Sulu untuk mendapatkan Kepulauan Sulu serta jajahannya serta membuat dakwaan bahawa Sultan Sulu telah menghantar sepucuk surat untuk membatalkan perjanjian 22 Januari 1878 (pajakan 1878) tetapi telah mendapat reaksi daripada Pemangku Konsol Jeneral British di Brunei yang menyatakan bahawa ianya bukan tuntutan yang sah serta menuduh bahawa surat yang dihantar itu adalah sebahagian daripada taktik atau kerja untuk merebut Sabah, Sepanyol telah mengambil keputusan untuk tidak merebut wilayah tersebut setelah mereka cuba merampas menggunakan kekerasan serta membuat perjanjian 22 Julai 1878 dimana tidak diiktiraf oleh British.[9]Disini menunjukkan bahawa Sultan Sulu sendiri yang sanggup menggadaikan hak yang dimiliki beliau dan secara tidak langsung telah hilang kuasa ke atas wilayah tersebut.

Kejatuhan Kesultanan Sulu
Dua tahun sebelum pembentukan perjanjian Pajakan 1878, Kepulauan Sulu telah dijajah oleh Sepanyol dimana telah berlakunya pembentukan sempadan antara Sultan Sulu dan Sepanyol.Menurut Don CarlosDomingo Antonio Genero Cuarteroni y Fernandez iaitu seorang mubaligh Kristian yang pada mulanya tiba ke Manila pada 1840 sebagai seorang kapten kapal untuk perdagangan telah mula membuat pemerhatian tentang pemerintahan Kesultanan Sulu sehinggalah berlakunya penjajahan Sepanyol pada 1876, beliau telah memberitahu pihak berkuasa Sepanyol untuk menghantar lebih ramai tentera untuk mengawal seluruh kawasan jajahan malah turut memberi maklumat tentang kelemahan dan menggesa pihak berkuasa Sepanyol untuk menguasai wilayah yang masih dimiliki Sultan Sulu.[10] Berikut adalah sebahagian tulisan Cuarteron:
“The Sultan has only a thousand warriors to protect him…and it appears that the greater portion of them are abandoning him…This is the time for Spain…to seize this ungrateful and unthankful Sultan.”[11]
Pihak berkuasa di Sepanyol di Manila tidak memberikan sebarang respon kepada kenyataan Cuarteron sebaliknya hendak membentuk sebuah perjanjian dengan Sultan Sulu bagi menentukan garis sempadan serta menyerahkan kedaulatan kepada Sepanyol dan akibat daripada tidak melayan kenyataan beliau telah menyebabkan Sepanyol mengalami kerugian yang lebih besar atas kesilapan sendiri.[12]

Perjanjian Sepanyol dan Sultan Sulu
Perjanjian ini telah berlaku saat kejayaan Sepanyol menumpaskan Kesultanan Sulu pada 1876, iaitu perjanjian yang terawal antara Sultan Sulu dengan Sepanyol dan menurut kandungan perjanjian ini, Kesultanan Sulu hanya mempunyai hak di atas kawasan yang berada diluar ‘Garrisons’ Sepanyol iaitu kawasan penempatan tentera Sepanyol dimana kawasan tersebut telah dijajah oleh mereka. Namun begitu, perjanjian ini telah menimbulkan sedikit salah faham antara Sultan Sulu dengan Sepanyol dimana Sultan Sulu hanya menganggap kawasan yang diduduki Sepanyol hanyalah sebagai kawasan perlindungan sahaja manakala bagi Sepanyol pula kawasan tersebut adalah milik mereka yang sah dimana mereka berpendapat bahawa Sultan Sulu telah menyerahkan kedaulatannya kepada mereka tetapi Sepanyol berjaya mengukuhkan pemilikan wilayah dengan merujuk sebuah salinan perjanjian yang telah diberikan di Sepanyol iaitu ‘the Sulus Tausug’.[13]Disebabkan perjanjian yang berlaku telah menyebabkan kesultanan Sulu semakin kehilangan kuasa terutamanya semasa penjajahan Amerika Syarikat.

Protokol Madrid 1885
Seterusnya ialah Protokol Madrid dimana sebuah perjanjian antara Sepanyol, British dan melibatkan Jerman berkenaan dengan perebutan wilayah yang hendak dimiliki. Menurut Artikel l dalam protocol ini menyatakan bahawa British dan Jerman mengiktiraf wilayah yang dimiliki Sepanyol termasuklah Kepulauan Sulu (Jolo), manakala berkenaan dengan wilayah Borneo Utara (Sabah) pula dinyatakan dalam Artikel lll protocol tersebut iaitu segala hak dan kedaulatan Borneo Utara yang menjadi rebutan telah diserahkan kepada Syarikat Borneo Utara British termasuklah pulau-pulau yang berada dalam lingkungan tiga liga laut dari pantai serta pulau yang terdapat di sekitar Balambangan, Banguey, dan Melawati.[14]Sultan Sulu turut terlibat didalam perjanjian tersebut serta telah menurunkan tandatangan penyerahan wilayah kepada Syarikat Borneo Utara British serta melepaskan apa-apa tuntutan ke atas Borneo Utara.[15]Malah beberapa tahun kemudian British telah membuat Perjanjian Protektorat (Penaungan) dengan Syarikat Borneo Utara British bahawa Borneo Utara naungan British serta akan menempatkan pejabat Konsul British di wilayah tersebut.[16]Secara tidak langsung memberi kelebihan kepada British untuk menguasai wilayah yang terdapat di Borneo termasuk Brunei dan Sarawak.Semenjak dari persetujuan Protokol Madrid ini, British dan Syarikat Borneo Utara British sahaja yang bertapak dan melindungi wilayah ini dari sebarang ancaman kecuali semasa perang dunia kedua apabila Jepun telah menyerang dan menawan Sabah sehingga Julai 1946 apabila Jepun telah mengaku kalah dan penguasaan kembali semula menjadi milik British dan Syarikat Borneo Utara British.Berikut adalah kandungan asal Protokol Madrid 1885 yang menjadi bukti bahawa Kesultanan Sulu tidak lagi mempunyai hak untuk menuntut Borneo Utara.

ARTICLE I
The Governments of Great Britain and of Germany recognise the sovereignty of Spain over the places effectivelyoccupied, as well as over those places not yet occupied, of the Archipelago of Sulu (Jolo), of which  the limits are laiddown in Article II.
ARTICLE III
The Spanish Government renounces, as far as regards the British Government, all claims of sovereignty over theterritories of the continent of Borneo, which belon g, or which have belonged in the past to the Sultan of Sulu (Jolo), andwhich comprise the neighbouring islands of Balambangan, Banguey, and Malawali, as well as all those comprised withina zone of three maritime leagues from the coast, and which form part of the territories administered by the Companystyled the “British North Borneo Company.”[17]

Perjanjian Pengesahan Gugusan Kepulauan Sibuko
Pada 29 April, Sultan Sulu pada ketika itu, Mohamad Jamalul Kiram ll bersetuju untuk menyerahkan semua pulau-pulau antara Banguey dengan teluk Sibuko serta memperbaharui jumlah bayaran yang perlu dibayar untuk dinaikkan sebanyak $300 setiap, malah pihak Syarikat Borneo Utara British juga bersetuju untuk membayar tunggakan semenjak 1878 dimana mereka telah mengambil alih pentadbiran Kepulauan tersebut tanpa sebarang bukti atau pengesahan yang kukuh, bayaran yang tertunggak adalah sebanyak $3200. Mereka juga mendapat nasihat daripada Lembaga Pengarah dan juga dipersetujui Pejabat Luar British bahawa tidak akan memaklumkan kepada kerajaan Amerika tentang perjanjian yang diperbaharui ataupun lebih dikenali sebagao sebuah perjanjian tambahan kerana menganggap pulau itu telah lama diduduki mereka serta tidak perlu untuk mempertikaikan kedudukan yang sudah terjalin antara Syarikat Borneo Utara British dengan Kepulauan Sibuko.[18]

Tuntutan Sultan Sulu pada 1930
Sultan Sulu iaitu Sultan Jamalul Kiram telah menuntut Borneo Utara daripada Syarikat Borneo Utara British tetapi tidak dilayan, namun telah membuat tuntutan untuk meminta bayaran tambahan serta sebidang tanah untuk pertanian dan juga istana di Sandakan malah turut ditolak oleh lembaga pengarah Syarikat Borneo Utara British. Setelah itu, beliau ingin perjanjian Pajakan 1878 dikaji semula kerana salah satu kandungan perjanjian ialah ‘silama ada per-edar-an chang krawala ia-itu mata-hari dan bulan’ yang bermaksud perjanjian itu masih sah sekiranya Sultan dan mana-mana pembesar yang terlibat masih hidup dimana mereka ini dirujuk sebagai ‘mata-hari’ manakala ‘bulan’ pula merujuk kepda Syarikat Borneo Utara British maka beliau mendakwa perjanjian itu telah terbatal kerana jangka masa sebuah konsesi ialah selama 50 tahun dan sekali lagi ditolak oleh Neil Malcolm selaku lembaga pengarah Syarikat Borneo Utara British kemudiannya Sultan Sulu berjaya membangkitkan isu tuntutan ini apabila seorang wartawan dari Amerika dan kemudiannya isu ini dibawa ke peringkat lebih tinggi lagi. Tujuan Sultan Sulu menuntut semula haknya di Sabah akibat daripada perjanjian Carpenter dimana Beliau telah kehilangan kuasa di wilayahnya dan secara tidak langsung telah menjejaskan pendapatannya apabila Amerika Syarikat menduduki wilayah Sulu.[19]

Perjanjian Carpenter
Kekuasaan yang dimiliki oleh Kesultanan Sulu telah hilang apabila Sultan Jamalul Kiram telah bersetuju menyerahkan kedaulatannya kepada Amerika pada 22 Mac 1915.Beliau juga mengiktiraf hak milik Amerika ke atas wilayah yang dimilikinya melalui perjanjian tersebut tetapi wilayah yang diduduki Amerika cuma di kawasan kepulauan Sulu sahaja dan tidak termasuk dari bahagian yang dimiliki Syarikat Borneo Utara British.Berikut adalah sebahagian daripada kandungan Perjanjian Carpenter.
“The Sultan of Sulu, on his own account and in behalf of his adherents and people in the Sulu Archipelago and elsewhere within American territory, without any reservation or limitation whatsoever, ratifies and confirms his recognition of the sovereignty of the United States of America, and the exercise by his Excellency the Governor General and the representatives of that Government in Mindanao and Sulu of all the attributes of sovereign government that are exercised elsewhere in American territory and dependencies, including the adjudication by government courts or its other duly authorized officers of all civil and criminal causes falling within the laws and orders of the Government.”[20]
Perjanjian ini melibatkan Sultan Sulu dengan Governor Mindanoa dan Sulu iaitu Frank W. Carpenter.Dengan berlakunya perjanjian ini telah membuktikan bahawa Kesultanan Sulu suda tidak lagi berkuasa kerana beliau telah kehilangan wilayah sebagai seorang sultan dan pemimpin di Kepulauan Sulu.Maka secara tidak langsung, Sultan Sulu juga turut kehilangan Borneo Utara kerana seiring dengan kehilangan kuasa beliau. Namun begitu, beliau telah cuba menuntut wilayah Borneo Utara tetapi gagal sehinggalah kemangkatan beliau pada 7 Jun 1936 yang kemudiannya telah mencetuskan perbalahan dalam kalangan ahli keluarga Sultan Sulu tentang penggantinya. Perebutan takhta ini berlaku di antara Datu Raja Muda Wali Wasit dengan Dayang-Dayang Haji Piando.[21]

Tiada Pengiktirafan Pengganti Sultan Jamalul Kiram
Ekoran daripada perbalahan berikut, Datu Raja Muda Mawali Wasit telah memaklumkan bahawa beliau telah dilantik sebagai Sultan Sulu yang baru pada 17 Julai 1936, bagaimanapun kedudukan sebagai pengganti Sultan Sulu telah dicabar oleh Dayang-Dayang Hadji Piando Kiram yang mengisytiharkan dirinya sebagai ‘Pemangku Sultan’. Disebabkan keadaan yang tidak pasti, pihak Syarikat Borneo Utara British telah menghubungi Konsul Jeneral British di Manila untuk mendapat kepastian tentang kedudukan pengganti Sultan Jamalul Kiram dan bagi mereka pengesahan akan Kesultanan Sulu amat penting kerana mempunyai perjanjian pembayaran wang serahan. Namun begitu, Konsul Jeneral British di Manila iaitu L.H. Foulds telah menyatakan bahawa kerajaan Filipina telah membuat keputusan tidak akan mengiktiraf kewujudan Kesultanan Sulu.[22] Berikut adalah kenyataan beliau:
“… the Philippines Government had decided not to recognize the continued existence of the Sultanate… if the Mohammedan inhabitants of Sulu desired to choose a person as their own affair and the Government would not interfere in a religious matter, but the person chosen would be merely a private citizen so far as Philippines law was concerned… The pension which had been paid to Sultan Kiram by the Philippines Government was personal to him and would certainly not be continued to anyone else.” [23]
Maka secara tidak langsung, wilayah Borneo itu menjadi milik Syarikat Borneo Utara British tanpa perlu membayar sebarang wang serahan serta menunjukkan bahawa tiada siapa lagi yang berhak untuk membuat tuntutan ke atas wilayah ini akan tetapi menjadi persoalan sama ada mereka masih lagi terikat dengan Pajakan 1878 dan Perjanjian 1903 lalu telah menghentikan pembayaran kepada waris Sultan Sulu dalam tempoh sementara sahaja dan telah membuat keputusan untuk menunggu masalah waris Sultan Sulu diselesaikan.[24]

Hakim Macaskie
Berikutan kemangkatan Sultan Jamalul Kiram pada 7 Jun 1936, pada 18 Disember 1939, kes waris kesultanan Sulu telah dikemukakan di Mahkamah Jesselton untuk mengetahui siapa yang berhak mewarisi harta pusaka Sultan Sulu dan juga hak untuk menerima bayaran tahunan sebanyak $5300 Syarikat Borneo Utara British.[25] Hal ini adalah kerana Datu Raja Muda Mawali Wasit telah memaklumkan kepada Syarikat Borneo Utara British bahawa beliau telah dilantik sebagai Sultan Sulu yang baru pada 24 Julai 1936 dan hal ini telah ditentang oleh Dayang-Dayang Hadji Piandao yang menyatakan bahawa Datu Raja Muda Mawali Wasit hanya disokong oleh sebilangan kecil sahaja manakala majority penduduk Kesultanan Sulu menyokong beliau sebagai waris yang sah. Mengikut Surat Pajakan 1878, wang serahan itu adalah hak Sultan Sulu dan apabila baginda meninggal dunia maka wang itu akan diwarisi oleh pengganti atau warisnya yang sah. Apabila isu mengenai waris ini mula timbul, pihak Syarikat Borneo Utara British tidak tahu hendak memberi wang penyerahan itu kepada siapa. Oleh itu, Syarikat Borneo Utara British telah menghubungi Konsul Jeneral British di Manila bagi mendapatkan kepastian tentang siapa waris Sultan Sulu yang sah, tetapi kerajaan Filipina telah menyatakan bahawa mereka tidak memberi pengiktirafan kepada pengganti Sultan Jamalul Kiram dan tidak mengiktiraf sebarang kewujudan Kesultanan Sulu. Oleh itu bayaran $5300 telah digantung buat sementara waktu sementara isu waris Sultan Sulu diselesaikan.Apabila hal ini dibawa ke mahkamah Jesselton, kes ini telah diadili oleh Hakim Mahkamah Borneo Utara iaitu C.P.C Macaskie. Kes ini telah dibawa oleh Dayang-Dayang Hadji Pindao Kiram dan lapan lagi waris terdekat yang lain untuk mendapat pengisytiharan yang sah dari Mahkamah. Macaskie telah memutuskan bahawa waris yang berhak menerima wang penyerahan ialah Dayang-Dayang Hadji Piandao Kiram, Putli Tarhata Kiram, Putli Sakinur In Kiram, Mora Napsa, Esmail Kiram, Datu Punjungan Kiram, Sitti Mariam Kiram, Sitti Rada Kiram, dan juga Sitti Putli Jahatu Kiram. Wang yang diterima oleh mereka adalah dalam jumlah yang berbeza.[26]Berikutan dengan keputusan mahkamah itu, Syarikat Borneo Utara British telah meneruskan pembayaran kepada waris Sultan Sulu yang berjumlah $17463.93 iaitu bayaran yang telah tertunggak semasa mencari pewaris yang berhak ke atas wang serahan tersebut.Pembayaran ini diteruskan sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua pada Disember 1941.Oleh itu, hak waris Kesultanan Sulu hanyalah ke atas wang penyerahan dan bukannya ke atas tanah lagi kerana warisnya telah bersetuju untuk menerima wang penyerahan pada ketika itu.

Penyerahan Borneo Utara kepada British
Selepas tamatnya perang dunia kedua, Syarikat Borneo Utara British telah membuat rundingan untuk mengambil alih Borneo Utara dan pada 26 Jun 1946 sebuah perjanjian telah dimeterai oleh kedua-dua pihak dimana segala kepentingan, kuasa dan hak ke atas wilayah Borneo Utara telah diserahkan kepada British dengan membayar pampasan sebanyak £9 juta, selepas itu pada 10 Julai 1946, telah berlakunya Perintah penyerahan Majlis Mesyuarat yang berkenaan dengan Borneo Utara dimana akan menjadi sebuah kawasan jajahan British secara rasmi pada 15 Julai 1946. Berikutan itu, Sultan sulu telah membuat tuntuan serta mendapatkan khidmat guaman dari Chicago, Messrs. Adams, Moses dan Culver untuk membatalkan perjanjian Pemberian 1878 tetapi tidak dilayan oleh kerajaan British dan isu ini dipandang serius oleh Pegawai Kanan Pejabat Luar British iaitu Vallat lalu membuat kertas kerja untuk melakukan penelitian kesemua perjanjian yang telah berlaku, setelah itu M. Jones individu yang menyemak kertas kerja tersebut lalu menyatakan bahawa hak waris Sultan Sulu hanyalah mendapat bayaran sebanyak $5,300 setahun.[27] Isu tuntutan ini berhenti seketika setelah kerajaan British mengambil keputusan untuk tidak melayan kehendak Sultan Sulu yang menyatakan bahawa perjanjian yang berlaku pada 1878 hanyalah pajakan sahaja serta pihak Syarikat Borneo Utara tidak membayar wang serahan selama tiga tahun berturut-turut tetapi isu pembayaran tersebut dinafikan British dengan menyatakan bahawa Syarikat Borneo Utara British telah membuat bayaran ke dalam akaun waris Sultan Sulu.[28]

Pembentukan Malaysia
27 Mei 1963, Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan ingin membentuk sebuah gagasan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara Brunei dan Sarawak supaya dapat menjalinkan kerjasama ekonomi, politik, dan juga ingin menyekat pengaruh komunis. Kemudiannya Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel  Cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang bertujuan untuk menerangkan konsep gagasan Malaysia kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Brunei. Pembentukan Malaysia berlaku pada 16 September 1963 tetapi telah mendapat bantahan daripada Indonesia dan juga Filipina. Pembentukan Malaysia ini akan menutup peluang kedua-dua buah Negara ini untuk mendapatkan Sabah dan Sarawak terutamanya bagi kerajaan Filipina yang melalui Sultan Sulu untuk menuntut Sabah. Semasa penubuhan Malaysia telah berlakunya rundingan untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold untuk melakukan sebuah tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sabah dan Sarawak tentang penubuhan Malaysia.[29]

Laporan Suruhanjaya Cobbold
Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan pada tahun 1962, ahli-ahlinya terdiri daripada Lord Cobbold (Pengerusi), Ghazali Shafie, Wong Pow Nee, David Watherson dan Anthony Abell yang menjalankan siasatan pada bulan Jun 1962 dimana Suruhanjaya Cobbold telah melaporkan bahawa lebih kurang satu pertiga daripada penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju dengan memberi sokongan kuat ke atas penubuhan Malaysia manakala selebihnya bersetuju untuk menyertai Malaysia dengan beberapa syarat akan tetapi masih terdapat lagi rakyat Sabah dan Sarawak yang menentang penubuhan Malaysia walaupun dengan syarat tetapi jumlahnya hanya sedikit sahaja iaitu 20 peratus daripada penduduk kedua-dua wilayah tersebut.[30]

Manila Accord
Penubuhan Malaysia telah mendapat tentangan daripada Indonesia dan Filipina. Maka ketiga-tiga buah Negara termasuklah Persekutuan Tanah Melayu telah bersetuju dengan menurunkan tandatangan dalam perjanjian Manila iaitu sebuah perjanjian yang menentukan hak milik Sabah dan Sarawak dimana ketiga-tiga Negara telah bersetuju untuk menghantar PBB untuk menjalankan tugas serta diperhatikan oleh pemerhati yang mewakili ketiga buah Negara tersebut untuk melihat proses pelaksanaan tugas dan sebagai tambahan, Pengisytiharan Manila telah dikeluarkan dimana menegaskan kepatuhan pemimpin-pemimpin ketiga Negara ini untuk patuh ke atas hak sama rata dan penentuan sendiri bangsa-bangsa sebagaimana yang terdapat di dalam piagam PBB.[31] Maksud Perjanjian Manila ini ialah setelah hasil siasatan daripada rombongan PBB ke atas wilayah sabah dan Sarawak, sebarang keputusan yang dikeluarkan hendaklah dipatuhi dan menerima akan keputusan daripada PBB serta tidak menganggu segala proses atau kerja rombongan PBB dan menerima sebarang hasil yang disifatkan sebagai yang terakhir dan yang muktamad dimana syarat ini diterima oleh ketiga-tiga buah kerajaan.[32]

PBB: Bukti Pengesahan Malaysia
Penubuhan Malaysia juga telah disokong kuat oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengumumkan keputusannya berdasarkan Laporan Misi PBB iaitu rombongan PBB yang telah mengadakan rundingan dengan wakil-wakil rakyat yang terdapat di Sabah dan Sarawak yang ingin mengemukakan pendapat serta mengumpul dan mengkaji semua dokumen, laporan dan bahan-bahan lain daripada institusi kerajaan, pertubuhan politik, proses pilihanraya di kedua-dua wilayah tersebut. Hasilnya, sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk menyertai penubuhan Malaysia dan setiausaha agung ketika itu, U Thant telah menyatakan bahawa “Saya percaya sebahagian besar daripada mereka (rakyat Sabah dan Sarawak) telah mengambil kesimpulan bahawa mereka ingin mengakhiri taraf takluk mereka dan mencapai kemerdekaan melalui penggabungan secara bebas dengan rakyat lain di rantau ini yang mereka rasakan ada hubungan dengan mereka dari segi rumpun bangsa, keturunan, bahasa, agama, kebudayaan, ekonomi, cita-cita dan maklumat. Bukan semua mereka yang berfikiran sedemikian tetapi kesimpulan saya ialah bahawa sebahagian besar rakyat kedua-dua buah wilayah itu, setelah menimbangkan hal mereka, ingin ikut serta dengan rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia untuk berusaha bersama-sama bagi mencapai cita-cita masa hadapan mereka.[33] Namun begitu, tuntutan masih lagi diteruskan malah kerajaan Filipina juga telah menggunakan Sultan Sulu untuk menuntut hak kedaulatan ke atas wilayah Sabah dan sehingga kini kerajaan Filipin masih belum lagi mahu menggugurkan tuntutan mereka.

Kerajaan Brunei: “No Link with Kiram’s, says Brunei embassy”
Tajuk di atas adalah berkenaan dengan penafian dari Brunei tentang penyerahan wilayah Sabah ke atas Kesultanan Sulu berdasarkan perjanjian suatu ketika dahulu.Penafian tentang penyerahan wilayah ini dinyatakan oleh oleh pejabat kedutaan di Manila. Jaini bin Abdullah, wakil pejabat kedutaan Brunei di Manila telah membuat kenyataan bahawa tiada bukti yang menunjukkan Sultan Bolkiah mempunyai sebarang perjanjian tentang penyerahan wilayah Sabah kepada Kesultanan Sulu walaupun terdapat sejarah yang menyatakan berlakunya perjanjian antara Sultan Brunei dan Sultan Sulu sekiranya dapat menumpaskan pemberontakan yang berlaku di Brunei.[34] Secara tidak langsung menunjukkan bahawa Sabah adalah tetap milik Malaysia serta mempunyai bukti perjanjian penyerahan sabah antara sultan Brunei dan Syarikat Borneo Utara British serta penyerahan wilayah Sabah kepada British oleh Syarikat Borneo Utara British selepas pendudukan Jepun dan termasuklah pembentukan Malaysia disamping diperhatikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB).

Kesimpulan
Ironinya, dari segi pemilikan ke atas wilayah sememangnya sebahagian daripada wilayah di Sabah ini adalah kepunyaan Kesultanan Sulu, tetapi disebabkan oleh sikap Sultan itu sendiri yang menyebabkan mereka kehilangan kedaulatan tanah air sendiri sehingga Sultan Sulu bergelar Sultan yang tidak mempunyai kerajaan atau negeri itu kini berada disebuah Negara yang suatu ketika dibawah kekuasaan mereka dahulu yang kini digelar sebagai Filipina yang pernah dijajah Sepanyol dan juga Amerika Syarikat. Kehilangan wilayah milik kesultanan Sulu ini disebabkan perjanjian-perjanjian yang telah berlaku antara Sultan Sulu dengan Overbeck dan Alfred Dent, Sepanyol, Amerika Syarikat dan British. Malah tuntutan yang dinyatakan oleh Sultan Sulu ke atas Sabah juga tidak dapat diterima kerana telah sah dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selain Kesultanan Sulu juga tidak diiktiraf serta perjanjian lama antara Sultan Sulu dengan Syarikat Borneo Utara British yang bersifat penyerahan secara kekal yang telah diturunkan kepada British dan kemudiannya diserahkan kepada Malaysia serta menerima bayaran sebanyak RM5300.Maka secara tidak langsung sejarah yang berlaku tidak patut dibiar terkubur begitu sahaja kerana peristiwa sebegini mungkin akan berulang lagi.



[1](14 Februari 2013), “Kenyataan Ketua Polis Negara, pencerobohan kumpulan bersenjata”, DALAM NEGERI, Utusan Online, http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/ 20130214/dn 05/Kenyataan-Ketua-Polis-Negara,-pencerobohan-kumpulan-bersenjata#ixzz2MSMZIyvP, diakses pada 10 April 2013.
[2](14 Februari 2013), “Puluhan Warga Filipina Bersenjata Dikesan Di Lahad Datu”, Tempatan, http://www.harian-metro-online.com/warga-filipina-bersenjata-di-lahad-datu, diakses pada 10 April 2013.
[3](15 Februari 2013), “Identiti kumpulan dikenal pasti”, DALAM NEGERI, Harian Metro Online, http://www.utus an.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130215/dn_03/Identiti-kumpulan-dikenal-pasti#ixzz2 MSD8cZXh, diakses pada 10 April 2013.
[4](15 Februari 2013), “Buat Dua Tuntutan kepada Malaysia”, Tempatan, Harian Metro Online, http://www.harian-metro-online.com/buat-dua-tuntutan-kepada-malaysia, diakses pada 10 April 2013.
[5](17 Februari 2013), “Kumpulan Bersenjata Bersetuju Berundur dari Negara ini”, Jenayah, Utusan Online, http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130217/je_05/Kumpulan-bersenjata-bersetuju-berundur-dari-negara-ini#ixzz2MSDohUcP, diakses pada 24 April 2013.
[6]Nik Anuar Nik Mahmud, (2001), “Tuntutan Filipina Ke Atas Borneo Utara”, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia,hlm 11.
[7]Ibid, hlm 15.
[8]Ibid, hlm 18.
[9]Ibid, hlm 19-20.
[10] Qasim Ahmad, (2008), “Malaysia-Spain Relations: The Impact of a Historical Past”, Universiti Teknologi Mara, University Publication Centre(UPENA), Shah Alam, hlm 10-12.
[11]Ibid, hlm 12.
[12]Ibid, hlm 12.
[13]Ibid, hlm 13.
[14] Mohd Ariff Bin Dato Hj. Othman, (1988), “Tuntutan Filipina Terhadap Sabah”, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 20.
[15](5 Mac 2013), “Fakta Kesultanan Sulu”, Berita, Mstar Online,http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/3/5/mstar_berita/20130304192852&sec=mstar_berita, diakses pada 28 April 2013.
[16] Leifer M., (1968), “The Philippine Calim To Sabah”, university of Hull, hlm 6.
[17](7 Mac 1885), “BRITISH NORTH BORNEO TREATIES.”, hlm 1.
[18]Nik Anuar Nik Mahmud, Op.cit, hlm 28-29.
[19]ibid, hlm 40, 42-43.
[20] (22 Mac 1915) “MEMORANDUM AGREEMENT BETWEEN THE GOVERNOR-GENERAL OF THE PHILLIPINE ISLANDS AND THE SULTAN OF SULU”, Zambonga.
[21]Nik Anuar Nik Mahmud, Op.cit, hlm 45.
[22]Ibid, hlm 45-46.
[23]Ibid, hlm 46.
[24]Ibid, hlm 46-47.
[25] Nik Anuar Nik Mahmud, “op.cit”, hlm  45-48.
[26] Ibid.
[27]Ibid, hlm 50-54.
[28]Ibid, hlm 61.
[29]“Penubuhan Malaysia 16 September 1963”, Arkib Negara Malaysia, http://www.arkib.gov.my/penubuhan_malaysia, diakses pada 29 April 2013.
[30] Kassim Thukiman, (2002), “Malaysia Perspektif Sejarah dan Politik”,Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, hlm 180.
[31]Mohd Ariff Bin Dato Hj. Othman,   “op.cit”, hlm118-119.
[32] Ibid, hlm 119.
[33]Ibid, hlm 119-121.
[34] Alitao Malinao, (27 Ogos 1989), “No Link with Kiram’s, says Brunei embassy”, The Nation, Manila Standard Today, http://news.google.com/newspapers?nid=1370&dat=19890827&id=lrROAAAAIBAJ&sjid=YQsEAAAAIBAJ&p g=6393%2C4577378, diakses pada 1 Mei 2013.

0 comments:

Post a Comment

Malaysia Cheap Web Hosting