Sunday, 22 June 2014

Islamic Jihad Union

Pengenalan
Menurut sebuah badan pengkaji aktiviti keganasan iaitu Terror Watch IJU atau Islamic Jihad Union atau pada asalnya dikenali sebagai Islamic Jihad Group merupakan sebuah kumpulan ekstrimis yang telah ditubuhkan pada awal tahun 2000 dimana militan ini telah berpecah daripada Islamic Movement of Uzbekistan dan telah menjadikan kawasan FATA (Federally Administered Tribal Areas) di Pakistan sebagai pusat gerakan mereka dan melakukan usaha untuk menggulingkan kerajaan sekular di Uzbekistan.[1] Manakala bagi Nine Eleven Finding Answer (NEFA) pula kewujudan IJU ini bermula selepas kematian ketua kumpulan Islamic Movement of Uzbekistan (IMU) iaitu Juma Namangani yang kemudiannya diletakkan dibawah kepimpinan yang baru dan bermulanya perpecahan pendapat dibawah kepimpinan Tohir Abduhalilovich Yo‘ldoshev.[2] Sejarah awal pembentukan militan ini (IJU) bermula apabila gerakan yang dilakukan oleh Islamic Movement of Uzbekistan semakin rapuh akibat kegagalan Taliban kepada Amerika Syarikat dimana ia telah menghalang IMU untuk mendapatkan dana daripada hasil penyeludupan dan penjualan opium dan menyebabkan kumpulan ini telah lari ke Pakistan dan pemimpin mereka Tohir Abduhalilovich telah merancang untuk bekerjasama dengan al-Qaeda tetapi terdapat sebahagian daripada ahli kumpulan mereka masih ingin terus berjuang di Uzbekistan lalu menyebabkan berlakunya perbincangan antara mereka melalui majlis Shura IMU, hasil daripada perbincangan tersebut telah menyebabkan berlakunya perbezaan pendapat dimana terdapat sebahagian daripada mereka inginkan perjuangan secara global manakala yang lain lagi menginginkan perjuangan di Uzbekistan dan mereka yang membantah iaitu  Nadzhmiddin Kamoldinovich Jalolov, Muhammad Fatih, dan Suhayl Fatilloevich Buranova telah keluar dan membentuk kumpulan baru yang dinamakan Islamic Jihad Group (IJG) pada bulan Mac 2002.[3]

Ideologi dan Matlamat
Menurut Thomas Hegghemmer, terdapat beberapa corak perjuangan militan Islam dan ianya terbahagi kepada; a)State-oriented, b)Nation-oriented, c)Umma-oriented, d)Morality-oriented dan e) Sectarian.[4] Bagi memahami ideologi dan matlamat IJU, amat sesuai untuk memilih corak Umma Oriented dimana kumpulan ini berjuang di peringkat global iaitu untuk umat Islam serta Kumpulan ini hanya ingin memperjuangkan ideologi Islam dengan cuba membentuk Negara Islam berlandaskan hukum agama Islam iaitu undang-undang Syariah, namun begitu dalam beberapa tahun selepas penubuhan awal Islamic Jihad Union, berlakunya perubahan matlamat dimana kumpulan militan ini cuba memperjuangkan semula sistem pemerintah khalifah Islam di beberapa buah Negara Islam terutamanya rantau Asia Tengah dan kumpulan ini juga cuba untuk merekrut umat Islam yang berada di rantau lain seperti Pakistan, Turki, Negara-negara Arab dan juga Chechen.[5]Selain itu, IJU merupakan militant yang mengamalkan sifat anti ideology barat yang mengamalkan sifat sekular dan cuba untuk mengubah Uzbekistan dengan pemerintahan mengikut undang-undang Islam.[6]Begitulah ideologi dan matlamat IJU (Islamic Jihad Union) yang diterapkan dalam pemikiran para pejuang mereka. IJU juga cuba untuk menyatukan kumpulan militan Islam yang lain dengan menggunakan konsep “Muslim Unity” supaya dapat menarik perhatian untuk menyokong perjuangan mereka serta menentang ideologi lain yang dianggap berbeza dengan Islam serta menggunakan konsep “Jihad” untuk membakar semangat dalam memerangi Negara-negara Islam yang tidak mengamalkan ajaran Islam.[7]

Dana Kewangan
Islamic Jihad Union telah mendapat dana melalui tiga jenis sumber yang berbeza iaitu; daripada organisasi militan atau pengganas lain seperti sebuah kumpulan Libya yang turut berada di kawasan puak (FATA) dan mendapat bantuan daripada al-Qaeda melalui wakilnya iaitu Abu Laith al-Libi serta IJU juga mempunyai bantuan logistik dan kewangan daripada kumpulan Taliban rangkaian Haqqani.[8] Tujuan dana daripada kumpulan lain adalah supaya mereka (IJU) akan turut terlibat atau memberi bantuan dengan membentuk pakatan dalam menentang musuh mereka.[9] Selain itu, iaitu sumber kedua IJU juga terlibat dalam penyeludupan dadah dan juga aktiviti peras ugut dalam mengumpul dana bagi menjana pergerakan militan tersebut.[10] Pelbagai cara yang digunakan oleh Islamic Jihad Union dalam usaha untuk mendapat dana, selain daripada aktiviti penyeludupan, IJU juga terlibat dalam aktiviti harian seperti masyarakat biasa apabila ahli mereka juga bekerja dalam usaha mendapat dana seperti berdagang dan juga menyedia perkhidmatan pembinaan seperti rumah ataupun bangunan. Manakala sumber kewangan yang ketiga ialah hasil sumbangan daripada ahli kumpulan yang mempunyai pendapatann sendiri, golongan (umat Islam) yang bersimpati dengan perjuangan mereka.[11]

Pengambilan Para Pejuang
IJU menggunakan teknologi yang ada untuk menyebarkan pengaruhnya malah kumpulan ini juga mempunyai laman web sendiri yang dikenali sebagai Sehadet Zamani yang diterjermahkan dalam bahasa Turki, Kurds, dan juga German, selain itu kumpulan turut menyebarkan video berkenaan rekrut dan aktiviti mereka melalui laman “Youtube” serta turut mempunyai “facebook” yang menggunakan nama yang sama iaitu Sehadet Zamani, dan sebagai bukti mereka telah menyebarkan satu keratan video berkenaan dengan latihan ahli IJU dan juga mendedahkan ahli kumpulan yang dianggap telah mati syahid.[12]Sama seperti yang dinyatakan Karen Kaya, gerakan militan ini turut menggunakan laman web sebagai jalan untuk merekrut ahli baru serta menyebarkan pengaruh mereka di peringkat antarabangsa dan juga maklumat berkenaan dengan operasi yang dilaksanakan.[13]Berikut adalah bukti IJU yang menggunakan teknologi meluaskan pengaruh mereka.

IJU juga telah merekrut ahli baru sama seperti yang dilakukan oleh Islamic Movement of Uzbekistan (IMU) iaitu setiap ahli baru akan di kuarantin selama sebulan dan akan diuji dengan pelbagai cara dan salah satu bentuk latihan ialah gangguan semasa waktu makan iaitu makanan dirampas untuk melihat bagaimana reaksi dan tindakan yang bakal dilakukan oleh ahli baru. Selain itu, ahli baru juga akan diberikan dadah sebelum tidur agar dia akan mendengar setiap arahan yang diberi sebelum tidur dan kaedah ini juga  sebahagian daripada bentuk latihan yang dilakukan oleh Afghan al-Qaida pada tahun 1990an dan ini telah disahkan oleh bekas Ketua Risikan IMU iaitu Shurat Masirokhunov.[14]

Selain itu, IJU juga merekrut kanak-kanak yang diberikan latihan untuk mempertahankan diri dan juga teknik menggunakan senjata dan bahan ini telah diperolehi daripada Badr al-Tawheed iaitu ahli kumpulan IJU yang beropersi di bahagian media.[15] Malah IJU juga turut merekrut kaum wanita untuk dijadikan sebagai pengebom berani mati yang dilatih oleh Timbalan ketua iaitu Suhayl Buranov, kumpulan ini juga merekrut warga eropah khususnya warganegara Turki dan juga Negara-negara di barat eropah seperti German iaitu golongan muallaf.[16] Kebiasaannya ahli baru IJU yang direkrut seramai 15-25 orang dalam setiap tempoh dan mereka akan dilatih dikawasan tertentu khususnya kawasan yang konkrit dimana mereka menekankan aspek peperangan di kawasan Bandar.[17]

Eric Breininger
Salah seorang ahli rekrut mereka yang paling dikenali ialah Eric Breininger iaitu seorang warganegara German yang telah masuk Islam pada tahun 2007 dan dikenali sebagai Abdelghaffar el-Almani yang mendapat latihan di Waziristan pada bulan Disember 2007. Beliau juga telah tampil dalam sebuah video tanpa bertopeng bersama-sama dengan salah seorang pengebom berani mati.Beliau sebenarnya telah direkrut oleh seorang rakan yang merupakan warganegara German yang turut menjadi ahli kumpulan IJU iaitu Daniel Schneider yang telah ditahan bersama-sama pada tahun 2007 iaitu sebelum Eric Breininger menyertai IJU dan Daniel Schneider telah mengajak beliau untuk mengikuti satu perjuangan yang membawa ke syurga.[18]Namun begitu, Eric Breininger dipercayai telah terkorban pada tahun bulan April 2010 selepas terlibat dalam insiden tembak menembak dengan tentera Pakistan berdekatan dengan sempadan Waziristan.[19]


Rangkaian Kerjasama Islamic Jihad Union

Haqqani Network
Bermula dengan menubuhkan tapak operasi di Utara Waziristan iaitu FATA, IJU telah menjalinkan hubungan dengan Rangkaian Haqqani demi memastikan kewujudan gerakan mereka diterima dan mereka telah membentuk pakatan untuk mengikuti kempen operasi Rangkaian Haqqani di Afghanistan.[20] Selain itu berlakunya pertukaran maklumat dan pengalaman antara kedua-dua militan ini dan secara tidak langsung telah membentuk kerjasama antara dua kumpulan militan[21] ini untuk menentang musuh mereka yang sama iaitu golongan kuffar dan melalui hubungan ini telah membawa IJU lebih dikenali diperingkat antarabangsa.[22]Bermula dengan rangkaian Haqqani telah membawa IJU untuk bergiat dengan lebih aktif lagi di beberapa buah Negara di rantau Asia Selatan dan juga Asia Tengah.

Al-Qaeda
IJU telah mula meluaskan pengaruhnya di kawasan FATA dan turut mendapat rakan kongsi baru apabila Abu Laith al-Libi yang mewakili Al-Qaeda hendak menjalinkan hubungan rapat dalam usaha untuk mengintensifikasi aktiviti IJU di rantau Asia Tengah dan juga mewakili Al-Qaeda dalam segala operasi serangan di rantau tersebut. Malah IJU juga mula terlibat aktif dalam beberapa siri serangan di Pakistan setelah mendapat sokongan dan kebenaran daripada Al-Qaeda dan antara serangan yang pernah dilakukan oleh IJU ialah pada tahun 2007-2008 dimana mereka telah menyasarkan tentera Pakistan dan Amerika sebagai balasan peristiwa serangan Masjid Merah oleh tentera Pakistan dan Amerika pada bulan Julai 2007.[23]Malah pada awal pembentukan IJU hanya mempunyai sekitar 100-200 orang pengikut yang teridiri daripada warganegara Uzbekistan, Tajikistan, Kyrgyztan dan juga Kazakhstan.Mereka pada ketika itu hanya sebuah organisasi yang lemah sehinggalah membentuk kerjasama dengan Al-Qaeda pada tahun 2006 yang memberi sokongan daripada pelbagai bentuk termasuklah logistik dan latihan.[24] Kesan daripada hubungan kedua-dua militan ini telah memberi kelebihan kepada IJU dimana mereka kini mempunyai tulang belakang dalam membantu mereka untuk melakukan pelbagai jenis operasi serta mendapat dana daripada Al-Qaeda.

Multi-Kultur-Haus
Kumpulan ini telah ditubuhkan pada 21 Jun 1996 dan diuruskan oleh seorang lelaki warga Mesir yang bernama Yehia Youzif dan ahli kumpulan ini terdiri daripada golongan Muallaf German serta sebahagian warga Turki dan sering mengadakan pertemuan di Ulm, Bavaria iaitu di Tenggara German. Kumpulan ini hanyalah mengumpul umat Islam yang ingin berjuang dalam menentang musuh Islam dan menjalinkan banyak hubungan dengan organisasi tertentu termasuklah IJU untuk mendapatkan ahli baru.IJU telah mendapat rekrut baru hasil daripada usaha kumpulan ini yang menghantar ahli mereka untuk berjuang.Antara individu yang terlibat ialah Fritz Gelowicz, Adem Yilmaz, dan warga German terakhir sekali yang dihantar oleh kumpulan ini ialah Eric Breininger.[25]Kerjasama antara dua kumpulan ini hanyalah melibatkan pengumpulan ahli baru IJU untuk menguatkan aktiviti keganasan mereka.
Hasil daripada kerjasama yang dijalinkan dengan Rangkaian Haqqani, Al-Qaeda dan juga Multi-Kultur-Haus telah membantu IJU untuk bangkit dengan lebih kuat lagi dalam masa yang singkat kerana hasil bantuan daripada tiga kumpulan ini dalam bentuk yang berbeza iaitu dari segi dana kewangan, pertukaran maklumat dan juga perkongsian pengalaman, kerjasama dalam melakukan serangan, bantuan logistik, kem latihan dan juga latihan ataupun taktik serangan serta pengambilan ahli baru.

Modus Operandi IJU

Siri Serangan
Pada awalnya kumpulan ini agak lambat untuk melakukan sebarang siri serangan sehinggalah pada 29 Mac 2004 iaitu serangan pertama dengan sekumpulan militan bersenjata menyerang pos pemeriksaan polis dan telah Berjaya membunuh tiga orang polis serta mencederakan seorang manakala serangan yang kedua pula ialah dengan melakukan serangan bom berani mati oleh dua orang wanita yang bernama Dihnoza Kholmanadova and Shahnoza Inoyatova di sebahagian wilayah di Uzbekistan pada cuti musim panas iaitu sebuah pasar di Tashkent dimana letupan pertama berdekatan dengan sebuah kedai dan letupan kedua pula berdekatan dengan masjid yang kemudiannya telah membunuh beberapa orang polis.[26] Kemudian pada hari yang berikutnya, kumpulan IJU ini telah melakukan serangan dengan menggunakan sebuah kereta yang berisi bom untuk diletupkan berdekatan dengan sebuah rumah yang dipercayai sebagai kawasan operasi yang telah dikelilingi polis dan pasukan keselamatan dan sejurus selepas letupan bom kereta tersebut, berlakunya tembak menembak antara IJU dengan polis dan kemudiannya insiden tersebut telah berhenti selepas salah seorang daripada mereka membakar rumah tersebut dan insiden ini telah mengorbankan seorang anggota polis.

Berikut adalah siri serangan yang turut berlaku iaitu kawasan Bostonliq di salah sebuah daerah Tashkent, berlakunya letupan dalam sebuah bas mini yang dalam laluan berdekatan dengan  sebuah empangan di Charvak reservoir yang mana membahayakan penduduk Bandar tersebut sekiranya letupan tersebut berjaya merosakkan empangan dan akan membanjiri keseluruhan bandar tersebut. Pada 31 March 2004, Qilichbek Azimbekov telah meletupkan diri di kediamannya pada jam 8 malam di sebuah daerah Sobir Rahimov dan motif letupan ini tidak dapat dipastikan kerana tiada dijelaskan siapa sasaran beliau. Dalam peristiwa pada penghujung bulan Mac ini telah mengorbankan seramai 10 orang anggota polis, 33 orang pejuang IJU termasuk ketua misi serangan tersebut iaitu Ahmad Bekmirzayev manakala 15 orang anggota IJU ditangkap dan tiga orang awam.[27]

Pada 3 April 2004, IJU yang pada ketika itu dikenali sebagai IJG telah menghantar satu emel kepada laman web “www.stopdictatorkarimov.com” dan meninggalkan satu kenyataan bahawa mereka telah bertanggungjawab ke atas serangan dan pengeboman yang berlaku sepanjang empat hari tersebut malah IJU juga menyatakan mereka akan menentang kerajaan Afghanistan termasuklah kakitangan kerajaan dimana kerajaan Uzbekistan telah mengamalkan dasar kekerasan ke atas rakyat serta memberitahu bahawa perjuangan mereka adalah salah satu bukti ke arah perjuangan yang mendapat bimbingan Allah serta memberi satu pesanan iaitu “Our goal of these actions is to give the words of Allah a higher meaning and retaliate against the enemies of Islam in response to their cruel punishment on the people and for the arrests and torture of our brothers and sisters.” Yang membawa maksud bahawa mereka menyebarkan ajaran Allah serta menentang musuh-musuh Islam yang dianggap bertanggungjawab ke atas penyeksaan umat Islam yang lain malah mereka juga menyatakan akan melakukan lebih banyak lagi serangan selepas ini. Pada bulan Julai, IJU telah menyerang kedutaan Amerika Syarikat, Israel dan pejabat ketua Hakim pendakwa di Tashkent menggunakan tiga orang penyerang bom berani mati yang telah membunuh dua orang pengawal pengawal kedutaan Israel, dua orang pekerja tempatan di pejabat tersebut serta mencederakan tujuh orang yang lain.[28] Berikut adalah antara siri serangan yang berlaku di Uzbekistan sahaja dan terdapat lagi beberapa operasi di Negara-negara lain.

Punca Kebangkitan IJU (IJG)
Sedikit kajian telah dilakukan untuk mencari punca kepada kebangkitan mengejut  kumpulan-kumpulan militan ini termasuklah Islamic Jihad Union. Seperti yang diketahui dimana militan-militan ini sebenarnya ingin menegakkan Islam serta menentang rejim kejam terhadap umat Islam yang turut melakukan kerjasama dengan pihak yang di anggap kuffar dan musuh Islam.

Ketua Negara VS Islam
Islam Karimov pada mulanya seorang setiausaha parti Komunis di Uzbekistan dan menjadi seorang gabenor di Uzbekistan, beliau pada mulanya tidak mahu kemerdekaan Uzbekistan dilakukan dengan segera kerana beliau menganggap berada di bawah kekuasaan Soviet masih relevan dan mampu memberi kebaikan kepada Uzbekistan. Berikut adalah petikan kata-kata beliau “if we remain part of the Soviet Union, our rivers will flow with milk. If we don’t, our rivers will flow with the blood of our people”. Namun begitu, Uzbekistan telah mendapat kemerdekaan pada tahun 1991 dan Disember 1991, beliau menang pilihanraya umum dan memerintah Uzbekistan.Sepanjang pemerintahan beliau telah melaksanakan corak pemerintahan sekular yang menjadikannya sebagai musuh politik Islam dan pada ketika itu kebebasan berpolitik dan beragama agak lemah dan tiada peningkatan.Akibatnya umat Islam di Uzbekistan telah bersatu walaupun berbeza kaum dan ingin membentuk semula pemerintahn di Uzbekistan. Pergerakan umat Islam ini telah disokong oleh Negara Arab Saudi yang membawa kepada pembentukan gerakan militan yang ingin berjuang menggunakan kekerasan disebabkan keengganan Karimov untuk berundur[29] dan bermulalah gerakan militan dan pergerakan yang terawal sekali ialah Islamic Movement of Islam yang bermula di Fergana Valley yang dipimpin oleh segolongan imam tempatan yang cuba untuk memasukkan undang-undang dan pemerintahan Islam di Negara tersebut.

Amerika Syarikat-Uzbekistan
Bermula dengan pengaruh pasca Soviet di Asia Tengah dimana Negara-negara dirantau ini telah merdeka dan telah menarik minat Amerika Syarikat untuk melaksanakan dasar campur tangan di rantau tersebut untuk menjalinkan hubungan ekonomi dan juga mempromosikan budaya politik Amerika Syarikat dan Amerika dilihat lebih cenderung untuk menjalinkan hubungan dengan kerajaan Uzbekistan yang kemudiannya melibatkan pertukaran sumber, fasiliti, pengkalan udara dan tentera. Kesan daripada hubungan Uzbekistan-Amerika Syarikat telah membolehkan Amerika menempatkan tentera, kapal terbang dan helicopter yang kemudiannya telah digunakan untuk melancarkan serangan ke atas Afghanistan dan Amerika Syarikat juga telah memberi bantuan kewangan sebanyak 25 juta untuk mendapatkan senjata dan pembangunan ketenteraan Uzbekistan.[30] Malah Amerika Syarikat juga menganggap umat Islam sebagai ancaman kepada mereka dan telah melaksanakan dasar War On terror apabila hendak menghapuskan kumpulan Taliban yang berada di Afghanistan.[31]

Akibat dasar pemerintahan Karimov dan juga campur tangan kuasa asing ke rantau tersebut telah menyebabkan wujudnya militan yang ingin menentang kedua-dua kuasa ini malah akibat kerajaan pimpinan Karimov yang membenar kemasukan Amerika Syarikat telah menyebabkan berlakunya pembunuhan dan penindasan terhadap umat Islam di Afghanistan yang membawa kepada kebangkitan Islamic Jihad Union yang berpecah daripada IMU untuk menentang pihak yang kuffar dalam Uzbekistan dan juga di peringkat antarabangsa.

Pejuang Islam atau Pengganas?
Gerakan yang dilakukan oleh IJU amat berbeza sekali dengan kehendak Islam dimana mereka telah membunuh sebahagian manusia yang tidak bersalah, malah turut terlibat dengan aktiviti jenayah seperti penyeludupan dadah malah mereka juga menyalahgunakan kanak-kanak masih kecil untuk berjuang atas dasar jihad semata-mata serta menyalahgunakan kaum wanita yang dijadikan sebagai pengebom berani mati dan ianya amat bertentangan dengan undang-undang peperangan Islam iaitu larangan ke atas pembunuhan penduduk awam, dan juga membuat kemusnahan yang tidak diperlukan seperti mengebom kawasan kediaman.[32]

Kesimpulan
Bermula dari sifat para pemerintah di Uzbekistan khususnya Islam Karimov telah membawa kebangkitan militan di Asia Tengah iaitu Islamic Movement of Uzbekistan yang kemudiannya corak perjuangan mereka mula berubah setelah kematian Tahir Yuldashev[33] yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan ahli militan kemudian berlakunya kebangkitan Islamic Jihad Union hasil perpecahan dalaman IMU yang ingin berjuang dengan matlamat yang lebih bersifat global akan tetapi corak perjuangan kumpulan ini tidak selari dengan kehendak Islam dan boleh dianggap sebagai organisasi pengganas.


Nukilan: Muhammad Mad Latif Kalfi

[1] Terrorism Research & Analysis Consortium, “Islamic Jihad Union, (IJU),

[2]Sandee R., “Islamic Jihad Union”, The NEFA Foundation, 2008, New York, USA, hlm 1.

[3] “Islamic Jihad Union (IJU)”, ISVG, https://vkb.isvg.org/Wiki/Groups/Islamic_Jihad_Union_(IJU), diakses pada
28 Mac 2014.

[4]Thomas Hegghammer, “Jihadi-Salafis or Revolutionaries?On Religion and Politics in the Study of Militant Islamism”, Part 3 Jihadi-Salafism, hlm 259.
[5]Kaya K., “The Anatomy of a Militant Radical Islamic Website: The Islamic Jihad Union’s Information
Operations”, IO Sphere, (September 2012), hlm 1.

[6] Terrorism Research & Analysis Consortium, “Islamic Jihad Union, (IJU),

[7]Kaya K., Op Cit, hlm 13.

[8] “Islamic Jihad Union (IJU)”, ISVG, https://vkb.isvg.org/Wiki/Groups/Islamic_Jihad_Union_(IJU), diakses pada
7 April 2014.

[9]Lang J., (November 2013), “The Radical Islamic Militants of Central Asia”, OÅ›rodek Studiów Wschodnich im.
Marka Karpia, Warsaw, hlm 20.

[10] Dr. Munster A & Bosch R., “Growing Islamism Extremism in Central Asia and the Caucasus-Situation and
Outlook”, Russia and Eurasia Programme, Chatam House, hlm 15.

[11]Lang J., Op. Cit., hlm 20.

[12]Wigen E., “Islamic Jihad union: al-Qaida’s Key to the Turkic World”, Norwegian Defence Research
Establishment, (23 Februari 2009), hlm 20.

[13]Kaya K., Op. Cit., hlm 1.

[14]Sandee R., Op. Cit., hlm 12.

[15]Ibid.

[16]  “Islamic Jihad Union (IJU)”, ISVG, https://vkb.isvg.org/Wiki/Groups/Islamic_Jihad_Union_(IJU), diakses pada
7 April 2014.

[17][17]Sandee R., Op. Cit., hlm 12-13.

[18]Wigen E., Op. Cit., hlm 20-21.

[19] Yassin Musharbash, “Eric Breininger’s Death: The Memoirs of a German Jihadist”, SPIEGEL ONLINE

[20] Steingberg G., “A Turkish al-Qaeda: The Islamic Jihad Union and the Internationalization of Uzbek Jihadism”,
Center for Contemporary Conflict, (n.d.), hlm 5.

[21]Lang J., Op. Cit., hlm 21.

[22]Steingberg G., Op. Cit., hlm 5.

[23]Ibid, hlm 6.

[24]Steinberg G., “The Islamic Jihad Union”, German Institute for international and security affairs, (n.d.) hlm 2.

[25]Sandee R., Op. Cit., hlm 19-20.
[26]Sandee R., Op Cit, hlm 5.
[27]Ibid, hlm 5-6.

[28]Ibid, hlm 6-8.
[29]Fettweis Christopher J., (2006), “Flashpoint In The War On Terrorism”, Routledge, New York, USA, hlm 120-
121.

[30]Luong Pauline J. & Weintbal E.,(2002), “New Friends, New Fears in Central Asia (The War On Terror)”, W.W.
Norton & Company, New York, hlm 75-77.

[31]Ibid.
[32] Ahmad Murad Merican, (2002), “Civilization and Terrorism”, Universiti Teknologi Mara (UITM), Malaysia,
hlm 30.

[33]Roggio B., “Islamic Movement of Uzbekistan confirms leader Tahir Yuldashev killed’, The Long War Journal,

0 comments:

Post a Comment

Malaysia Cheap Web Hosting