Sunday, 22 June 2014

Konflik Timor Leste

Konflik adalah salah satu norma yang terjadi dalam sesebuah masyarakat dan Negara, ianya mendatangkan kesan buruk sekiranya sesebuah konflik tersebut tidak dicegah dari awal. Menurut Karl Cordell dan Stefan Wolff, konflik etnik ialah satu terma yang sering kali disalah tafsirkan dengan legitimasi negatif serta kekeliruan yang tidak bermakna dan apabila ianya berkenaan dengan isu kekeliruan, perkara yang paling penting ialah konflik etnik sebenarnya berkaitan dengan sesebuah etnik yang bukan menjadi penamat kepada makna sebenar konflik malah mempunyai hubungan dengan keganasan yang berlaku bagi sesetengah kes. Namun begitu, sesebuah etnik mampu menjadi satu unit gerakan untuk melakukan sesuatu tindakan secara kolektif iaitu menjadikan kekerasan sebagai taktik dalam sesebuah konflik yang terjadi dan melalui pembentukan ini akan menjelaskan sebahagian penting terhadap punca konflik berlaku tetapi ianya tidak dapat dinyatakan bahawa etnik merupakan punca semata-mata kepada kejadian sesebuah konflik.[1] Selain itu, konflik etnik sebenarnya fenomena lama yang biasa terjadi dalam sejarah awal kemanusiaan dimana sesebuah komuniti yang mempunyai struktur yang tersusun serta mempunyai budaya dan asal usul dari tempat yang sama yang kemudiannya mewujudkan persaingan yang membawa kepada pertembungan ataupun konflik. Kumpulan etnik boleh disifatkan sebagai satu kumpulan manusia yang kecil atau besar yang membentuk satu kelompok masyarakat yang mengamalkan budaya yang sama dari segi Bahasa, pemakanan, pakaian tradisional, adat dan amalan.[2]Konflik agama pula boleh didefinisikan sebagai sekumpulan penganut agama yang ingin menunjukkan bahawa kepercayaan dan amalan mereka adalah benar dan konflik ini agak sukar diselesaikan kerana tiada pihak ketiga yang dianggap sebagai neutral atau berkecuali. Bagi golongan ini, untuk memenangi persaingan hendaklah mempunyai lebih ramai penganut yang mempunyai motivasi untuk melaksanakan perintah agama namun begitu tanpa disedari wujudnya golongan ekstrimis agama yang menganggap perjuangan agama sebagai kehendak tuhan dan kesannya akan menyebabkan berlakunya konflik dimana mereka ini (ekstrimis) hanya melihat tindakan radikal sebagai kayu pengukur untuk memenuhi kehendak tuhan dimana pada asalnya kumpulan penganut ini sekadar menerima dogma, kepercayaan yang mesti dipatuhi sehingga berlakunya pertembungan pendapat berkaitan agama masing-masing.[3]

Profil Timor Leste
Timor Leste adalah sebuah Negara yang baru sahaja merdeka pada abad ke-21 selepas mengalami dua kali siri iaitu penjajahan daripada Portugal selama lebih 450 tahun dan kemudiannya dijajah sekali lagi oleh Indonesia selama 25 tahun sehinggalah Timor Leste mencapai kemerdekaan secara mutlak pada 20 Mei 2002.[4]Dalam sepanjang penubuhan Negara bangsa, Timor Leste telah berhadapan beberapa siri konflik etnik dan agama terutamanya sepanjang era penjajahan Indonesia.Berikut adalah data berkenaan dengan Timor Leste iaitu mempunyaikeluasan selus 14,874 kilometer persegi tetapi keluasan lautnya tidak diketahui, kedudukannya terletak di antara Indonesia dan juga Australia. Pada tahun 1975 populasi Timor Leste adalah seramai 680,000 orang yang terdiri daripada warga asal Timor Leste (97%) Cina (2%) dan rakyat Portugis (1%)[5] tetapi kini populasi ini telah berubah apabila banyak warga Indonesia telah datang berhijrah semasa pendudukan kerajaan Indonesia ke atas Timor Leste yang kemudiannya telah mengembangkan jumlah masyarakat Islam. Namun begitu, bentuk populasi Timor Leste yang terkini adalah seramai hampir 1.2 orang dan terdapat lebih 30 jenis kumpulan etnik yang terdiri daripada pelbagai jenis budaya dan adat seperti Tentum Dili (69, 300), Mambere (80,000), Tukudede (63,170), Galoli (50,000), Mambae (143, 000), Makasae (111, 000), Kemak (67,000), Baikeno (20,000), Bunak (50,000), Fataluku (30,000) & etnik minoriti lain – Adabe, Amarasi, Banda, Bilba, Dagoda, Dengka serta beberapa jenis etnik pendatang seperti keturunan Arab, Cina, bangsa kacukan Portugal dan lain-lain.[6] Manakala penganut agama di Timor Leste adalah Roman Katolik, Protestan (Seventh-day Adventists, Pentecostals, Jehovah's Witnesses, dan Christian Vision Church) dan juga Islam, menurut jabatan Negara Amerika penganut Katolik adalah seramai 98% manakala Protestan dan Islam sekadar mewakili lebih kurang 1% sahaja dan selebihnya ialah mengamalkan animism dan kepercayaan lain.[7] Dengan menjadikan Dili sebagai ibu Negara, Timor Leste juga mempunyai empat jenis bahasa tetapi menjadikan dua daripadanya sebagai Bahasa rasmi iaitu Portugis dan Tetum manakala bahasa Indonesia dan Inggeris pula dijadikan bahasa kedua ataupun Bahasa pertuturan seharian di Negara tersebut. Corak pentadbiran kerajaan Timor Leste ialah sistem demokrasi berparlimen dan mempunyai dua musim tetap iaitu musim hujan dan panas. Bahan semula jadi yang terdapat di Negara ini adalah emas, petroleum, gas asli, marmar, kayu cendana, dan mangan (manganese) serta sumber pertanian seperti kopi, beras, jagung, kentang, kacang soya, kubis, buah manga, pisang dan vanilla, selain itu Timor Leste juga mempunyai sumber industri sendiri percetakan, pembuatan sabun, kraftangan, dan kain tenunan manakala rakan kongsi Timor Leste ialah Indonesia (2005), matawang yang digunakan oleh Timor Leste pula ialah US dollar (USD).[8]

UDT vs Fretilin
Terdapat beberapa kali konflik etnik yang berlaku di Timor iaitu sewaktu kemerdekaan daripada Portugis, semasa pemerintahan Indonesia dan juga selepas merdeka iaitu empat tahun pertama selepas kemerdekaan Timor Leste dan setiap siri konflik etnik ini akan diperhalusi sebaik mungkin bagi memahami susur galur peristiwa yang berlaku.Permulaan kepada berlakunya konflik etnik dalam pergelutan dua parti politik ini adalah sewaktu Portugal hendak melepaskan wilayah jajahannya selepas berlakunya siri rampasan kuasa pada 25 April 1974 selepas Movement Armed Forces menyerbu tempat persembunyian di bandar Lisbon dan Perdana Menteri pada ketika itu telah hidup dalam buangan di Pulau Madeira[9] dan selepas itu berlakunya perubahan dalaman sehingga membawa kepada perubahan dasar luar Portugal yang ingin melepaskan kesemua wilayah jajahannya termasuklah Timor Leste dan kesan daripada pergolakan dalaman Portugal telah memberikan peluang parti politik di Timor Leste untuk bangkit menuntut kemerdekaan tetapi berlakunya persaingan kuasa antara Revolutionary Front for an Independent East Timor (Fretilin) dengan Timorese Democratic Union Party (UDT) yang ingin memerintah Negara tersebut[10] sehingga berlakunya cubaan rampasan kuasa antara UDT dengan Fretilin apabila UDT dengan sokongan polis menyerang ahli-ahli Fretilin dengan membunuh, mengugut dan membakar rumah mereka sehingga Fretilin pula bertindak balas dengan menggunakan kuasa tentera untuk menentang saingannya[11] walaupun pada awal gerakan kemerdekaan Timor Leste kedua-dua parti ini telah membentuk satu pakatan untuk memerintah Negara tetapi disebabkan prejudis antara satu sama lain telah menyebabkan pakatan tersebut dibubarkan dan berlakunya ketegangan antara kedua-dua parti tersebut dimana UDT mendapat sokongan golongan elit, etnik minoriti dan juga sebahagian daripada wakil Portugis termasuklah Indonesia manakala Fretilin pula mendapat sokongan majoriti yang terdiri daripada etnik-etnik yang miskin dan kelas bawahan.[12] Akibat daripada percanggahan kedua-dua parti tersebut telah menyebabkan berlakunya perang saudara antara mereka pada bulan September 1975 selama tiga minggu sehingga mengorbankan 2,000 – 3,000 orang dan selama konflik tersebut berlaku, Fretilin menguasai majoriti wilayah di Timor Leste serta telah menahan ratusan pemimpin UDT dan para pengikutnya[13] namun begitu perang saudara yang singkat tersebut telah terhenti apabila mendapat perhatian Indonesia yang ingin mencampuri urusan dalaman Negara tersebut. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, Indonesia telah mengambil kesempatan untuk menyerang Timor Leste dengan alasan pengaruh komunis dari parti Fretilin demi menguasai sumber petroleum dan gas asli. Punca kepada berlakunya perang saudara tersebut adalah disebabkan perbezaan corak pentadbiran dimana Fretilin berusaha untuk membebaskan Timor Leste serta berusaha untuk memajukan bangsa Maubere[14] dan juga untuk menaik taraf bangsa Maubere serta ingin memerdekakan Timor Leste manakala UDT pula mahu terus berada dalam pemerintahan Portugis dengan menggunakan sistem federal[15] serta tidak berpuas hati dengan matlamat Fretilin yang lebih menekankan bangsa Maubere sahaja seperti isu penubuhan kumpulan penentang tentera Indonesia iaitu CNRM (National Council of Maubere Resistance) yang telah diubah menjadi CNRT (National Council of Timorese Resistance) kerana UDT enggan menerima penggunaan perkataan Maubere yang hendak dijadikan sebagai identiti Negara Timor Leste diperingkat antarabangsa kerana disebabkan perbezaan etnik yang terdapat pada UDT[16] dan begitulah punca kepada konflik etnik yang pertama kali berlaku di Timor Leste.

Perang Saudara 1999
Seterusnya adalah perang saudara yang berlaku menjelang kemerdekaan Timor Leste iaitu pada 1999 dimana berlakunya siri pembunuhan berskala besar yang telah dilakukan oleh kumpulan militia yang terdiri daripada etnik yang berada di bahagian barat Timor Leste semasa penjajahan Indonesia. Kewujudan beberapa kumpulan militia yang menentang kerajaan Timor Leste adalah disebabkan rasa tidak puas hati Indonesia terhadap keputusan rasmi undian pada Januari 1999 untuk menentukan kemerdekaan Timor Leste yang bertentangan dengan corak pentadbiran autonomi dibawah pemerintahan Indonesia dimana kumpulan-kumpulan ini telah mendapat latihan daripada tentera Indonesia. Terdapat belasan kumpulan militia yang telah wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan seperti Aitarak (Thorn), Besi Merah Putih (Red and White Iron), Mahidi (Live or Die for Integration) dan banyak lagi dalam beberapa bulan selepas itu dimana kumpulan-kumpulan militia ini ingin bersatu dibawah pemerintahan Indonesia dan telah melakukan beberapa siri keganasan yang mendapat restu Indonesia pada bulan Februari dan Mac 1999 tetapi Indonesia telah memberi respon bahawa kumpulan ini wujud sendiri sebagai respon menentang aktivis pro-kemerdekaan dan ini adalah konflik dalaman Timor Leste sendiri serta mengatakan bahawa akan mencari jalan untuk menangani kumpulan-kumpulan militia ini.[17] Punca berlakunya perang saudara ini adalah sebahagian rakyat Timor Leste pernah berjuang menentang Portugis pada 1975 dengan sokongan Indonesia dan mereka pernah diburu dan dibunuh oleh kumpulan bersenjata Fretilin kerana dianggap menentang kemerdekaan Timor Leste, malah terdapat juga yang terlibat dengan kumpulan militia ini atas dasar geografi dimana wilayah yang diduduki bersempadan dengan Indonesia dimana mereka merasakan lebih sesuai menyertai Indonesia dan menjadi wilayah ke-27 Indonesia malah ada juga yang menyertai kumpulan ini disebabkan tawaran makanan dan kewangan. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa kewujudan kumpulan-kumpulan militia yang membawa kepada perang saudara 1999 ini adalah disebabkan faktor pengalaman lepas, perbezaan politik dan kehendak peribadi.[18] Perang saudara 1999 ini menyebabkan berlakunya kes jenayah seperti rogol dan pembunuhan serta siri keganasan gereja Liquica dan gereja Suai dimana terdapat penglibatan tentera Indonesia atas sebab tidak puas hati campur tangan pihak gereja dalam gerakan kemerdekaan Timor Leste.[19] Konflik ini diselesaikan dengan campur tangan peringkat antarabangsa apabila pasukan pengaman PBB (United Nations) yang diketuai Australia telah masuk ke Timor Leste untuk memulihkan semula keadaan yang berlaku serta membentuk pembangunan baru ke atas Timor Leste yang kemudiannya menyebabkan kumpulan-kumpulan militia telah melarikan diri ke bahagian barat Timor Leste untuk mengelak daripada ditahan pasukan pengaman PBB.[20]Etnik yang dikatakan terlibat dalam konflik ini adalah etnik tetun berdasarkan bahasa mereka untuk kumpulan militia Thorn yang lebih dikenali sebagai Aitarak dan diikuti etnik minoriti yang berada di Balibo, Liquica, Suai dan beberapa wilayah yang bersempadan dengan Indonesia.

Pemberontakan Tentera 2006
Berlakunya siri tembak menembak antara pihak polis dengan kumpulan tentera yang memberontak sehingga telah menyebabkan lebih 150,000 orang menjadi pelarian dan ditempatkan di kawasan khemah di Dili dan Baucau[21] apabila pada bulan Mac 2006, seramai 594 orang tentera dari F-FTDL yang dikenali sebagai “petitioners” yang dipecat oleh Perdana Menteri Alkatiri telah mencetuskan konflik di Timor Leste atas alasan layanan berat sebelah ke atas mereka Selain daripada layanan berat sebelah daripada pegawai atasan juga menjadi punca kepada kemarahan sebilangan tentera yang berasal dari Timor Leste barat dan pada mulanya mereka hanya melaksanakan demonstrasi secara aman di Dili tetapi telah bertukar menjadi ganas pada hari kelima demonstrasi tersebut apabila ada penglibatan golongan muda dan kumpulan jenayah yang mencetuskan provokasi kepada kedua-dua belah pihak yang berkonflik.[22]  Isu pemberontakan ini mula menjadi isu perkauman apabila sebahagian rakyat Timor Leste mula mencampuri konflik ini dengan turut menyertai demonstrasi menentang kerajaan di istana kerajaan malah turut disertai polis tentera iaitu Mejar Renaldo atas dasar tidak puas hati terhadap kerajaan dan punca sebenar kepada konflik ini adalah disebabkan oleh tindakan kerajaan yang mendiskriminasikan sebahagian tentera yang berasal daripada bahagian barat Timor Leste dan mementingkan tentera yang berasal daripada bahagian Timur Timor Leste kerana kerajaan telah memecah belahkan tentera kepada east/west divide[23] dan juga ketidakadilan dalam sistem kenaikan pangkat yang dilihat lebih kepada tentera yang berasal daripada Timor Leste barat, namun begitu konflik ini tidak berpanjangan dan berjaya diselesaikan oleh kerajaan Timor Leste apabila Perdana Menteri Alkatiri telah meletak jawatan akibat desakan rakyat atas isu ini dan juga isu agama malah kerajaan Timor Leste juga mengajak kumpulan tentera ini untuk mengadakan rundingan bagi mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua belah pihak[24] sehinggalah kerajaan Timor Leste terpaksa meminta bantuan dari peringkat antarabangsa untuk menangani konflik bersenjata ini daripada beberapa buah Negara iaitu Australia, Malaysia, New Zealand, dan Portugal untuk mengembalikan semula keamanan di Timor Leste.[25]

Indonesia: Penindasan Agama
Seterusnya ialah mengenai konflik agama yang berlaku, terdapat dua siri konflik agama yang telah berlaku iaitu semasa era penjajahan Indonesia dan juga semasa era pentadbiran Perdana Menteri Alkatiri tetapi konflik agama di Timor Leste tidak mendatang kesan buruk yang besar berbanding konflik etnik yang berlaku dan berikut adalah siri setiap konflik tersebut. Indonesia dikatakan telah menjadikan umat Kristian sebagai mangsa serangan mereka apabila berlakunya penentangan oleh umat Kristian ke atas Indonesia yang cuba untuk mengekalkan penjajahan mereka ke atas Timor Leste. Namun begitu, konflik ini tidak dilihat sebagai konflik agama yang sebenar kerana ianya lebih dilihat sebagai gerakan kemerdekaan yang cuba dilakukan oleh pihak gereja sehingga menyebabkan tentera Indonesia mengambil keputusan untuk menyerang institusi agama di Negara tersebut dengan menggunakan beberapa kumpulan militia yang telah dibentuk oleh mereka seperti Aitarak, Besi Merah Putih, Laksaur dan Mahidi. Malah konflik ini lebih dilihat pertembungan Indonesia dengan peranan gereja yang memperjuangkan kemerdekaan dan bukannya isu konflik agama antara Islam dan Kristian.[26] Punca sebenar konflik ini dilihat sebagai konflik agama adalah peranan media barat yang cuba untuk mencetuskan isu agama kerana beranggapan bahawa Indonesia merupakan Negara majoriti Islam seramai 88% manakala Timor Leste pula lebih 90% beragama Kristian Katolik dan cuba menyatakan bahawa sikap prejudis sesetengah pihak yang memandang isu ini sebagai konflik agama dimana Suharto dilihat cuba melakukan politik Islam ke atas Timor Leste dan timbulnya isu anti-Islam dalam kalangan rakyat Timor Leste adalah disebabkan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Indonesia yang majoritinya beragama Islam dimana ianya telah menimbulkan salah faham rakyat Timor Leste walaupun sebenarnya tindakan kekejaman itu adalah arahan daripada Ketua tentera Indonesia yang  berbangsa jawa dan beragama Katolik iaitu Moerdani yang mengeluarkan arahan untuk menyerang dan menindas rakyat Timor Leste sehinggakan sebahagian “Hardliners Islam” menyalahkan beliau kerana membentuk satu pandangan negatif terhadap Islam atas tindakan yang telah dilakukan.Tambahan pula penghijrahan rakyat Indonesia ke Timor Leste yang majoritinya Islam telah dilihat salah satu bentuk penindasan Indonesia dimana rakyat Timor Leste menganggap tindakan tersebut merupakan penghijrahan agama ataupun proses Islamisasi.[27] Namun begitu tidak mudah bagi golongan immigran tersebut kerana perlu mematuhi kelayakan oleh kerajaan Timor Leste untuk menjadi warganegara tersebut iaitu perlu berkahwin dengan rakyat Timor Leste ataupun menetap di Negara tersebut selama 10 tahun sebelum mendapat proses naturalisasi menjadi rakyat Timor Leste.[28]Isu ini kurang menjadi sebutan selepas pengunduran Indonesia daripada Timor Leste selepas mendapat arahan daripada PBB (United Nations).

Era Perdana Menteri Islam: Mari Alkatiri
Selepas kemerdekaan Timor Leste iaitu pada 2002, Perdana Menteri Timor Leste ialah seorang penganut agama Islam iaitu Mari Alkatiri dan isu agama telah timbul apabila beliau dikatakan mengubah sistem pendidikan agama daripada institusi agama kepada subjek wajib di sekolah serta pandangan negatif media Australia terhadap beliau. Pada tahun 2005, Alkatiri telah mengubah dasar pendidikan dengan menjadikan agama sebagai subjek wajib di sekolah dan secara tidak langsung dianggap mencabar institusi agama di Negara tersebut yang mempunyai pengaruh yang besar dan kesannya telah menyebabkan rakyat Timor Leste telah memberontak di jalan raya untuk membantah dasar yang beliau laksanakan tetapi beliau hanya memberi respon dengan pernyataan berikut "Well, I'm not worried since I know I'm going to hell. Who cares?" sehingga menarik perhatian pihak gereja Katolik untuk membuat kenyataan bahawa akan melaksanakan kempen anti-Alkatiri sekiranya beliau dicalonkan sebagai perdana menteri bagi pilihanraya 2008 walaupun beliau amat disegani dan dihormati atas jasa beliau yang berunding dengan Australia berkenaan telaga minyak di Laut Timor serta menolak pinjaman Bank Dunia  walaupun keluaran dalam negara kasar per kapita hanya AS$400 sahaja kerana pengalaman peribadinya semasa hidup dalam buangan di Afrika, dimana banyak negara-negara miskin telah menjadi teruk akibat bergantung dengan bantuan asing.[29] Kemudian ditambah pula dengan pandangan negatif media Australia yang cuba mengaitkan beliau sebagai Muslim dan Arab dalam isu politik dan budaya Timor Leste serta membuat percanggahan identiti beliau dengan identiti majoriti rakyat Timor Leste yang menjadi analisis awal media Australia kemudiannya menceritakan tentang percanggahan nilai barat dan Islam sehingga semasa berlakunya demonstrasi gereja pada tahun 2005, akhbar Australia telah menyiarkan artikel yang menyarankan Alkatiri untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tetapi Alkatiri dengan tenangnya menyatakan bahawa punca kepada sifat bias media Australia ini adalah kerana tindakan beliau yang membawa John Howard iaitu pemimpin kerajaan Australia untuk berbincang berkenaan isu gas asli yang hendak direbut oleh Australia dan beliau turut menyatakan “If I had really, in the negotiation given bigger, better opportunities for the Australians, they would have defended me. I am sure. This is very opportunistic… a very pragmatic way of doing things” iaitu bermaksud jika Australia menguasai sumber gas asli tersebut sudah pasti media Australia akan mempertahankannya tanpa menyiarkan sebarang berita buruk.[30] Bagai retak menanti belah, kedudukan Alkatiri sudah dijangka dimana beliau akhirnya terpaksa melepaskan jawatan beliau dengan arahan Presiden pada ketika itu Xanana Gusmao atas tekanan yang dihadapi oleh beliau daripada rakyat termasuklah ancaman daripada bekas pejuang menentang penjajahan Indonesia Railos da Concecao yang ditemu ramah siaran televisyen Australia dimana beliau menyatakan bahawa akan menyerang perdana menteri termasuklah menteri dalam negeri Rogerio Lobato dengan menggunakan senjata yang pernah dibekalkan oleh kerajaan sendiri sewaktu era penjajahan.[31]

Penyelesaian Peringkat Domestik
Pada peringkat domestik, pelbagai langkah telah dilakukan bagi menangani permasalahan yang wujud setelah berlakunya konflik. Sebuah komuniti tempatan, yang diberi nama BELUN telah ditubuhkan bagi memantau pembangunan sosial dan ekonomi di Timor Leste serta bertanggungjawab dalam menyediakan platform kepada penyelesaian konflik di Timor Leste. BELUN, merupakan bahasa Timor, yang membawa maksud kawan, merupakan antara komuniti yang mampu merintis kepada perubahan sosial dan ekonomi di Timor Leste. Dengan metod dan aplikasi yang betul, mereka mampu mengamankan situasi di Timor Leste selepas ketiadaan Pasukan Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sana. Antara usaha yang dilakukan oleh BELUN ialah mewujudkan satu sistem, Early Warning and Early Response (EWER). Sistem EWER, ditubuhkan pada tahun 2008, merupakan hasil kerjasama diantara komuniti BELUN dan Columbia University’s Center for International Conflict Resolution (CICR). EWER ditubuhkan dengan tujuan untuk bertindak balas  dan memberikan respon awal terhadap situasi semasa konflik serta menjalankan langkah pencegahan dan penularan konflik, dan EWER ini disokong dan dibiayai oleh Jabatan Menteri Luar Ireland.[32]

Pihak Berkuasa & Pakar Analisis Tempatan mencadangkan pengunaan resolusi pencegahan konflik bersifat tradisional, iaitu Tara Bandu.[33] Tara Bandu dianggap mampu meregulasi rakyat & pihak yangg bermusuhan serta mengurangkan ketegangan di peringkat komuniti masyarakat Timor Leste.Tara Bandu adalah ritual dan majlis angkat sumpah tradisional dan dilihat mampu memainkan peranan penting dalam komuniti masyarakat Timor Leste.[34] Walaupun ia tidak mampu memberi penyelesaian sepenuhnya kepada konflik, namun sekurang-kurangnya ia mampu mendisiplinkan komuniti masyarakat Timor Leste serta mengurangkan ketegangan. Ritual ini dijalankan dalam sesebuah keluarga, dengan setiap ahli keluarga perlu bersumpah di hadapan anggota masing-masing agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh sesebuah komuniti. Ritual ini dilihat mampu memupuk kesedaran dalam kalangan individu dan komuniti masyarakat di Timor Leste.

Campur Tangan Antarabangsa: United Nations (PBB)
Dalam menyelesaikan sesuatu konflik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan badan utama yang menganjurkan keamanan dan keselamatan. PBB mempunyai pelbagai peranan dalam menjalankan proses pendamaian. Hal ini boleh dilihat melalui rekod resolusi konflik yang dikeluarkan oleh PBB sejak era Perang Dingin (1945-1991) lagi.Sekiranya penglibatan dilhat berdasarkan keputusan yang berkaitan dengan konflik dan resolusi yang dibuat oleh Majlis Keselamatan PBB, badan Perhimpunan Agung PBB dan badan Setiausaha Agung PBB, PBB ternyata terlbat dalam majoriti konflik. Pada Disember 2005, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi telah membentuk Peacebuilding Commission (PBC) dan Peacebuilding Support Office (PBSO). Peacebuilding merupakan konsep pendamaian relatif yang baru dan masih berkembang yang dikaji secara mendalam oleh para sarjana ilmu sosial pada masa ini. Menurut Bertram (1995), konsep ini telah digunakan oleh masyarakat dan ahli pemikir sejak 1990-an. Selain itu, PBB sendiri mula serius menggunakan konsep ini sejak tahun 1992.[35]Hal ini dapat dilihat penanganan konflik Timor Timur atau yang kini dikenali sebagai Timor Leste setelah memperolehi kemerdekaan.Dalam konflik ini, badan Setiausaha Agung PBB telah bertindak sebagai forum perbincangan bagi membentuk kesepakatan.Bagi mencari penyelesaian konflik ini, PBB melalui Resolusi MU No. 3458 telah mengarahkan penarikan kembali pasukan tentera Indonesia yang memasuki Timor Timur.Konflik Timor Timur bermula apabila militer Indonesia memasuki Timor Timur. Kemasukan ini adalah berdasarkan Deklarasi Balibo yang ditanda tangani oleh empat parti daripada lima buah parti yang terdapat di Timor Timur. Antara empat buah parti tersebut adalah UDT, Apodeti, KOTA dan Tabalhista, manakala parti yang tidak menandatangani deklarasi tersebut ialah Fretelin.Fretelin merupakan parti yang memperjuangkan kemerdekaan Timor Timur.[36]Selain itu, penglibatan PBB dalam penyelesaian konflik Timor Timur juga dapat dilihat dalam peranannya menjadi orang tengah dalam rundingan antara Portugal dan Indonesia.Setelah pengunduran Presiden Soeharto dari tampuk pemerintahan Indonesia, beliau digantikan oleh Presiden Habibie.[37]

Berkat usaha Ramos Horta, isu konflik Timor Timur yang sebelum ini berjaya ditenggelamkan disebabkan usaha lobi Indonesia ke atas negara-negara lain berjaya dibangkitkan semula. Suatu rundingan dijalankan bagi membincangkan permasalahan ini an sebagai langkah untuk mencari solusi kepada konflik Timor Timur. Rundingan diantara Portugal dan Indonesia ini dinaungi oleh PBB.Hasil daripada rundingan, ‘Agreement 5 Mei’ telah dipersetujui.Dalam kesepakatan ‘Agreement 5 Mei’ oleh pihak Portugal dan Indonesia, mereka bersepakat bahawa PBB bertanggungjawab untuk menjalankan referendum bagi mendapatkan undian pungutan suara rakyat Timor Timur.Referendum yang dijalankan adalah untuk mendapatkan pendapat rakyat samada mahu menerima atau menolak tawaran pemerintah Indonesia yang menawarkan kuasa autonomi ke atas Timor Timur. Sekiranya rakyat menolak, Timor Timur akan diberi kemerdekaan. Dalam hal ini, PBB berperanan untuk membentuk United Nations Mission in East Timor (UNAMET) yang bertindak untuk melakukan undian pungutan suara tersebut.[38]Tindakan yang diambil oleh PBB ini adalah berpaksikan Resolusi 1236 (1999).Berdasarkan pungutan suara yang dijalankan oleh UNAMET, didapati bahawa rakyat Timor Timur menolak tawaran kawalan autonomi oleh Indonesia.Oleh itu, pemerintah Indonesia dikehendaki memerdekakan dan menyerahkan Timor Timur kepada PBB.PBB seterusnya bertindak menubuhkan United Nations Transitional Aministration in East Timor (UNTAET)untuk membantu mempersiapkan Timor Timur sebagai negara yang merdeka. UNTAET bertanggungjawab untuk; a) Untuk menjaga keselamatan dan memelihara undang-undang dan perintah di seluruh wilayah Timur Timor b) Untuk mewujudkan pentadbiran yang berkesan c) Membantu dalam pembangunan perkhidmatan awam dan sosial d) Bagi memastikan penyelarasan dan penghantaran bantuan kemanusiaan, pemulihan dan bantuan pembangunan; e) Untuk menyokong pembinaan kapasiti bagi kerajaan sendiri f) Untuk membantu dalam penubuhan syarat untuk pembangunan yang mampan. Operasi PBB berikutnya merupakan UN Mission of Support in East Timor (UNMISET).Ia melibatkan bantuan kepada struktur pentadbiran teras dan penyediaan penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan.[39]

Rangkaian NGO Antarabangsa
Wujudnya satu rangkaian antarabangsa NGO (Non-Governmental Organizations) yang bekerjasama dalam membina keamanan di Negara tersebut dimana mereka akan mengadakan pertemuan untuk membincangkan isu-isu yang berlaku. Peranan yang dimainkan oleh kebanyakan NGO yang terlibat ini adalah mengumpul dana dalam melaksanakan program kemanusian di wilayah-wilayah yang berkonflik dan turut memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dalam membangunkan infrastruktur untuk rakyat Timor Leste seperti pendidikan, kesihatan dan juga bekalan air.[40] Berikut adalah beberapa NGO yang terlibat dalam pemulihan keamanan dan pembangunan semula Negara ini seperti Sustainable Livelihoods Network yang berperanan sebagai kumpulan yang membangunkan sektor pertanian di Negara tersebut dengan membekalkan maklumat, membuat kajian dan memberi latihan serta membina rangkaian dengan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Timor Leste. Seterusnya ialah International Advisers dimana kumpulan ini terlibat dalam memberi nasihat ataupun mengatur strategi dalam memajukan ekonomi, sosial dan politik Timor Leste kumpulan ini biasanya melibatkan wakil organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia yang menghantar wakil untuk membentuk dasar ekonomi Timor Leste.[41] Selain itu, terdapat juga peranan NGO tempatan seperti Perkumpulan HAK yang memperjuangkan hak asasi rakyat Timor Leste pada awal kewujudannya ialah untuk memberi bantuan kepada tahanan dan  pemantauan serta melaksanakan kempen hak asasi manusia. Kumpulan ini juga menjalinkan hubungan dengan NGO lain seperti The Asia Foundation dan juga institusi gereja dengan Bishop Belo.[42]Terdapat banyak lagi NGO yang terlibat seperti CARITAS Dili, ETADEP (East Timor Agricultural Development Program), Small Grant Donor Network, dan Capacity Building Network.

Aktor Negara
Selain menjadikan PBB sebagai medium rundingan bagi menyelesaikan konflik Timor Timur, wujud beberapa negara yang dilihat dominan dalam menyelesaikan konflik di Timor timur ini.Resolusi 1246 oleh PBB ke atas konflik di Timor Timur telah membawa kepada kewujudan misi keamanan di Timor Timur iaitu dikenali sebagai UNAMET.Misi keamanan di Timor Timur atau Timur Leste itu disertai oleh lebih 22 buah negara. Antara negara yang terlibat dalam menghantar pasukan tentera dan bantuan keamanan adalah seperti Bangladesh yang mana telah menghantar lebih 2718[43] tentera yang terdiri daripada tentera laut, udara, tentera darat dan polis. Selain itu, Brazil, Canada, Francis, Jermen, Ireland, Italy, Jordan, Kenya, Malaysia, Norway, Pakistan, Philipina, Portugal, Singapura, Korea Selatan, Thailan, UK dan Amerika Syarikat turut terlibat dalam misi keamanan bagi menyelesaikan konflik di Timor Timur tersebut. Dalam misi keamanan ini, Australia merupakan ‘highlight’ kepada percaturan untuk mengembalikan keamanan di Timor Leste.

Australia
Negara Australia dilihat dominan dalam memainkan peranan sebagai salah satu aktor antarabangsa yang turut sama dalam membawa konflik Timor Timur ke jalan perdamaian. Dalam usaha Timor Timur untuk mendapat kemerdekaan dari Republik Indonesia, Negara Australia muncul sebagai negara yang dilihat bertanggungjawab ke atas konflik yang berlaku. Usaha ini dapat dilihat apabila Australia menjadi negara pertama yang memberi sokongan terhadap resolusi PBB 1246 dan resolusi 1257 ketika pertama kali isu Timor timur dibahaskan di PBB. Walaupun pada asalnya penglibatan Australia dilihat hanya atas dasar kepentingan ekonomi iaitu apabila wujud persepakatan “Timor Gap Treaty” dengan Republik Indonesia, namun setelah kecaman PBB terhadap Republik Indonesia ke atas isu Timor timur, Australia dilihat mula mengambil langkah berkecuali dan terus menyokong misi pengaman PBB (UNAMET) di Timor Timur pada ketika itu[44]. Australia merupakan salah sebuah negara yang menyalurkan bantuan terbesar ke atas misi keamanan PBB di Timor Timur.Seramai lebih 5,500 orang kakitangan tentera dan polis yang diketuai oleh Mejar Jeneral Peter Cosgrove[45] telah dihantar di bawah misi keamanan tersebut.Selain itu, Australia turut menyumbang aset negara iaitu sebanyak 16 buah kapal tentera.

Amerika Syarikat
Selain Australia, Amerika Syarikat juga tidak ketinggalan melibatkan diri dalam misi keamanan di Timor Leste. Walaupun tidak wujud kepentingan ekonomi mahupun politik, konflik Timor Leste yang berlangsung ketika perang dingin memaksa Amerika untuk melibatkan diri secara langsung kerana khuatir akan perluasan kuasa Kesatuan Soviet. Hal ini menjelaskan penglibatan Amerika adalah didasari oleh kepentingan ideologi[46]. Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Clinton telah mengutuk tindakan kekerasan ke atas Timor Timur dan menyokong penuh usaha Australia dan negara lain dalam mencapai keamanan di negara tersebut. Amerika juga memberi bantuan dari sudut teknikal, logistik, sumber tenaga dan sebagainya kepada Timor Timur.Semasa Timor Timur menghadapi keadaan darurat, Amerika dilihat telah menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak $10 juta kepada negara tersebut dan tambahan $5.1 juta[47] berikutnya bagi bantuan kemanusiaan. Ketika rundingan dan perjalanan Timor Timur ke arah kemerdekaan negaranya, Menteri Luar Negeri Amerika Syarikat, Madeleine Albright telah membuat kunjungan ke Jakarta dan telah memohon agar pemimpin Indonesia membiarkan warga Timor Timur yang berada di seluruh Indonesia untuk kembali ke negara asal mereka tanpa sebarang kekejaman. Beliau juga meminta agar Indonesia tidak lagi mengganggu misi keamanan PBB di Timor Timur.

Portugal
Portugal yang pada suatu ketika dahulu pernah menjajah bumi Timor Timur juga dilihat turut memainkan peranan sebagai aktor yang membawa konflik yang tercetus di Timur Leste ke jalan penyelesaian. Sebelum kewujudan resolusi 1246 , Portugal merupakan salah sebuah negara yang sering berusaha dalam membangkitkan isu di Timur Leste semasa berlangsungnya forum PBB. Malah setelah tercetusnya penindasan rakyat Timor Timur oleh Republik Indonesia, Perdana Menteri Portugal Lisabon segera memutuskan hubungan diplomatik dengan Jakarta.Portugal turut menyediakan perlindungan suaka bagi perlarian politik Timur Leste.Semasa berjalanya misi keamanan di Timor Leste, Portugal dilihat menyokong kuat kelompok Pro-kemerdekaan dengan menyediakan persenjataan dan turut member latihan ketenteraan mengikut garis komando di Portugal[48].Hal ini jelas menunjukkan bagaimana negara-negara yang terlibat memainkan peranan mereka dalam misi keamanan di Timor Leste dalam mencapai kemerdekaan negara tersebut.

Malaysia
Malaysia turut memainkan peranan dalam membantu Timor Leste seperti menghantar pasukan polis seramai 70 orang anggota Polis Diraja Malaysia pada tahun 2006selain penglibatan Malaysia melakukan siasatan dalam kes-kes jenayah antarabangsa yang berlaku di Negara tersebut[49] dan pernah menyertai misi pengaman di Negara yang sama pada tahun 2003 bawah program UNMISET dengan menghantar 125 orang anggota polis dan juga 209 orang anggota tentera semasa operasi Astute[50] dan kini Malaysia hanya terlibat dengan pembangunanProgram Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) serta menghulurkan bantuan kepakaran teknikal.

Kesimpulan
Kesimpulannya, terlampau banyak konflik etnik dan agama yang berlaku sehingga melibatkan campur tangan pelbagai pihak dalam menyelesaikan konflik ini dan ianya biasa berlaku dalam sesebuah Negara yang berada diambang kemerdekaan dimana kebanyakannya Negara dunia ketiga ini sering bertelagah dalam pentadbiran dalaman dan perlunya pemantauan peringkat antarabangsa untuk mengekalkan keamanan Timor Leste.

Nukilan : Muhammad Latif Khalfi



[1] Cordell, K. & Wolff, S., (2010), “Ethnic Conflict: Causes, Consequences and Responses”, Polity Press, hlm 1.
[2] Taras, Raymond C. & Rajat Ganguly, (2006), “Understanding Ethnic Conflict: The International Dimension”, 3rded, Pearson Education Inc, New York, hlm 1.
[3]Brahm E., (November 2005), “Religion and Conflict”, Beyond Intractability, http://www.beyondintractability.org/ essay/religion-and-conflict, diakses pada 4 Mei 2014.
[4] Cutter, A. & Gruener Sigrid, “Timor Leste Conflict Assessment”, The Center for International Conflit Resolution (CICR), Columbia University, (31 Julai 2004), hlm 11.
[5] “Timor Leste”, Nations Online, http://www.nationsonline.org/oneworld/timor_leste.htm, diakses pada 4 Mei 2014.

[6] Joshua Project, “People Cluster: Timor”, http://joshuaproject.net/clusters/305, diakses pada 4 Mei 2014.
[7] “Timor Leste”, US department of State, hlm 1.
[8] “Timor Leste”, Nations Online, http://www.nationsonline.org/oneworld/timor_leste.htm, diakses pada 4 Mei 2014.
[9] “1974: Rebels seize control of Portugal”, BBC, http://news.bbc.co.uk/onthisday/hi/dates/stories/april/25/ newsid_4754000/4754581.stm, diakses pada 5 Mei 2014.
[10] “East Timor – Indonesia (1975-1999)”, Political Economy Research Institute, University of Massachusetts Amherst, (n.d.), hlm 1.
[11]FRENTE REVOLUCIONÁRIA DO TIMOR-LESTE INDEPENDENTE, “FRETILIN chronology up to the Restoration of Independence”, (1 Ogos 2007), hlm 1.
[12] McCloskey, S. & Hainsworth, P., (200), “East Timor Question: The Struggle for Independence from Indonesia”, I.B.TAURIS & Co Ltd, New York, hlm 3.
[13] Jose Ramos Horta, (1996), “Funu: The Unfinished Saga of East Timor”, 2nded, The Red Sea Press Inc, USA, hlm 55.
[14]Maubere adalah Bahasa Portugis bagi merujuk beberapa buah etnik Timor Leste yang mundur.
[15]Pinto, C. & Jardine M., (1997), “Inside East Timor Resistance”, James Lorimer & Company Ltd, Canada, hlm 36.
[16]FRENTE REVOLUCIONÁRIA DO TIMOR-LESTE INDEPENDENTE, op. cit., hlm 3.
[17] Robinson, G., “People’s War: militias in East Timor and Indonesia”, South East Asia Research, Vol.9 No. 3, hlm 271 & 274-275.
[18]Ibid, hlm 276-277.
[19]Robinson, G., “East Timor 1999 Crimes against Humanity”, A REPORT COMMISSIONED BY THE UNITED NATIONS OFFICE OF THE HIGH COMMISSIONER FOR HUMAN RIGHTS (OHCHR), University of California Los Angeles, (Julai 2003), hlm 8-9.
[20] (25 July 2013), “East Timor profile”,  News Asia, BBC, http://www.bbc.com/news/world-asia-pacific-14952883, diakses pada 5 Mei 2014.
[21] Vieira, L. “The CAVR and the 2006 Displacement  Crisis in Timor-Leste”, International Center for Transitional Justice (ICTJ), USA, (Julai 2012), hlm 10.
[22] Brady, C. & Timberman, David G., “THE CRISIS IN TIMOR-LESTE: CAUSES, CONSEQUENCES AND OPTIONS FOR CONFLICT MANAGEMENT AND MITIGATION”, USAID Timor Leste, USAID From the American People, (November 2006), hlm 8-13.
[23]Bugalski, N., “POST CONFLICT HOUSING RECONSTRUCTION AND THE RIGHT TO ADEQUATE HOUSING IN TIMOR-LESTE”, (27 Julai 2010), hlm 10-12.
[24]“Groups, gangs, and armed violence in Timor-Leste”, TIMOR-LESTE ARMED VIOLENCE ASSESSMENT, no.2, TLAVA, (April 2009), hlm 5.
[25]Brady, C. & Timberman, David G., op. cit., hlm 13.
[26] “East Timor Violence Not Reliogious Conflict”, Catholic News, http://cathnews.acu.edu.au/909/91.html, diakses pada 5 Mei 2014.
[27]Hefner, Robert W., (2000), “Religious Ironies in East Timor”, RELIGION IN THE NEWS, Vol. 3, No. 1, http://www. trincoll.edu/depts/csrpl/rinvol3no1/east_timor.htm, diakses pada 5 Mei 2014.
[28] Sidel, John T., “INDONESIA: MINORITIES, MIGRANT WORKERS, REFUGEES, AND THE NEW CITIZENSHIP LAW”, United Nations High Commissioner for Refugees, Status Determination and Protection Information Section (DIPS), Writenet Indeoendent analysis, (Mac 2007), hlm 6.
[29] Loro Horta, (18 Mei 2006), “East Timor riots expose a political divide”, Souteast Asia, Asia Times Online, http:// www.atimes.com/atimes/Southeast_Asia/HE18Ae01.html, diakses pada 5 Mei 2014.
[30]Johnston, M., “A ‘Muslim’ Leader of a ‘Catholic’ Nation? Mari Alkatiri’s Arab-Islamic Identity and its (Inter) National Contestations”, Austrian Studies in Anthropology, vol.1, (2012), hlm43-46.
[31]Perlez, J., “East Timor Resignation Raises Hopes for End to Violence”, (27 Jun 2006), hlm 1-3.
[32] Centre for International Conflict Resolution., Conflict Prevention and Early Warning - Program Overview (1998-Present)http://www.cicr-columbia.org/research/present/east-timor/ diakses pada 6 Mei 2014
[33] East Timor Law and Justice Bulletin., Tara Bandu for Conflict Prevention - Belun & The Asia Foundation Research in Timor-Leste.,http://www.easttimorlawandjusticebulletin.com/2013/10/tara-bandu-for-conflict-prevention.html diakses pada 6 Mei 2014
[34] East Timor Law and Justice Bulletin., Tara Bandu for Conflict Prevention - Belun & The Asia Foundation Research in Timor-Leste.,http://www.easttimorlawandjusticebulletin.com/2013/10/tara-bandu-for-conflict-prevention.html diakses pada 6 Mei 2014
[35] Muhandi Sugiono, Rochdi Mohan Nazala, Peacebuilding dan Resolusi Konflik dalam Perspektif PBB, hlm. 2, dari https://www.academia.edu/1144076/Peacebuilding_dan_Resolusi_Konflik_dalam_perspektif_PBB, diakses pada 02 Mei 2014.
[36] Hendra Perdana, Peranan PBB dalam Menyelesaikan Sengketa Timor Timur, 2001, Padang: Universitas Andalas Padang., hlm. 1.
[37]Ibid, hlm. 2.
[38]ibid, hlm.i.
[39] Olav Ostad, Reconcilition and Resolution of Conflict in East Timor: Lesson for Future Peace Operations, 2012, UK: Oxford Institute for Ethics, Law, and Armed Conflict, hlm. 8.
[40] Engel, Rebecca E., “The Building of Timor Leste: International Contributions to a Fragile State”, Center for International Conflict Resolution (CICR), Columbia University, (April 2007), hlm34.
[41]Ibid, hlm 34-35.
[42]Hunt, Janet E., (April 2008), “Local NGOs in national development: The case of East Timor”, Tesis Ph. D, School of Global Studies, Social Science and Planning, RMIT University, hlm 154-156.
[43]Bangladesh in UN peacekeeping, Dari http://www.bdhcdelhi.org , Diakses pada 1 Mei 2014.
[44]Syamsul Hadi & Andi Widjajanto, Disintegrasi Pasca Orde Baru: Negara, konflik lokal dan dinamika Internasional, Jakarta : Yayasan Obor Indonesia, 2007,  hlm. 196-198.
[45] Cotton.J., Australia’s East Timor Experience: Military Lessons and Security Dilemmas, Dari http://www.nids.go.jp , Diakses pada 1 Mei 2014.
[46]Syamsul Hadi & Andi Widjajanto, op. cit.,  hlm. 199.
[47] Ghoniem A.A., United Nations Peacekeeping Operations: Improvement for Mission Success, 2003, hlm. 19-20, Dari http://www.stanford.edu , Diakses pada 1 Mei 2014.
[48]Syamsul Hadi & Andi Widjajanto, op. cit., hlm. 206-208.
[49] (1 April 2007), “Timor Leste: Pasukan Pengaman Malaysia Dipuji”, Utusan Online, http://www.utusan.com .my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm, diakses pada 5 Mei 2014.
[50] “Malaysia”, Nautilus Institute For Security And Sustainability, http://nautilus.org/publications/books/austra lian-forces-abroad/east-timor/malaysia/#axzz30wxMy43R, diakses pada 5 Mei 2014.

0 comments:

Post a Comment

Malaysia Cheap Web Hosting