Bahang bulan Syawal dan Aidilfitri masih lagi terasa akan nikmat dan kesyukurannya dalam kita meraikannya dengan bermaaf-maafan serta berkunjung mesra kerumah sanak dan saudara. Dalam usaha meningkatkan amalan sunat yang berterusan yang baik serta disukai oleh Allah S.W.T selepas Ramadhan, umat Islam sangat digalakkan tetapi tidak dipaksa untuk terus ibadah puasa sunat pada Syawal (lebih dikenali sebagai puasa enam).

Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga.
Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud:
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)
Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun. Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.

Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diperoleh umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam pada Syawal ini. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud:
“Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:
“Siapa berpuasa Ramadhan, lantas disambung dengan enam hari pada Syawal, maka dia bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadith riwayat Al-Bazzar).
Pahala puasa Ramadhan yang dilanjutkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda, seperti disentuh dalam hadith.Membiasakan puasa selepas Ramadhan memiliki banyak manfaat, di antaranya:
- Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh.
- Puasa Syawal dan Sya’aban bagaikan solat sunat rawatib, dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Perkara ini kerana pada hari qiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunat.
- Seperti keterangan Rasulullah SAW dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan keadaan ini memerlukan sesuatu bagi menutup dan menyempurnakannya.

0 comments:
Post a Comment