Assalamualaikum dan salam kemenangan serta salam kemerdekaan buat semua..
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana telah memberi kita semua peluang dalam meraikan kedatangan Bulan Syawal yang bakal kita lalui tidak lama lagi, mungkin seminggu lagi malah tinggal beberapa hari lagi dalam kita menanti kedatangan Bulan Syawal kali ini. Kalau kanak-kanak sibuk menyiapkan poket yang besar untuk mengumpul duit raya, bagi kita kemaafan adalah perkara yang mampu kita lakukan dalam menanti kedatangan Bulan yang mulia.
Bulan Syawal ini, bagi saya merupakan bukan kemenangan buat kita kerana telah berjaya melalukan ibadah puasa yang penuh dengan dugaan dan kesabaran buat kita selaku manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan adakala terlalu mengikut nafsu. Biarlah apa sahaja yang kita lakukan baik dalam perbuatan mahupun pertuturan dalam menahan nafsu manusia yang berbagai-bagai.
Disamping kita membuat persiapan dalam merayakan kedatangan Bulan Syawal yang mulia ini adakala hati ini rasa terharu dan sedih kerana takut Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat kita semua. Kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok hari, minggu hadapan malah tahun hadapan. Persoalannya adakah kita layak diberikan peluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan akan datang, kerana kita sendiri tidak tahu apakah amalan yang kita lakukan ini sudah cukup membuatkan kita berasa berbangga untuk berhadapan dengan Allah S.W.T. Semoga kita tidak mengalah dalam memanjatkan doa agar kita masih diberi kesempatan untuk bertemu dengan Kedatangan bulan Ramadhan yang akan datang.
Dalam kita tidak sabar menanti kedatangan bulan Syawal kali ini, kita jangan lupa pada orang yang tidak mampu, berilah apa sahaja dan semampu yang boleh kita lakukan dalam meringankan beban mereka yang kurang mampu. Mungkin ada yang tidak mampu memberi wang ringgit, tapi mereka boleh memberikan dengan cara yang lain seperti mengundang mereka untuk merayakan kedatangan syawal walaupun penuh dengan kesederhanaan.Itupun sudah cukup buat mereka. Banyak lagi cara kita untuk merayakan kedatangan syawal bersama masyarakat yang kurang mampu.Bak kata perpatah melayu, “BERAT SAMA DI PIKUL , RINGAN SAMA DI JINJING” Mungkin dengan cara ini kita semua mampu meringankan beban mereka seadanya. Insya Allah.
Rasanya sampai disini sahaja dapat saya kongsikan buat saudara mara, sahabat serta rakan-rakan yang amat saya sayangi. Di kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa buat semua, Halalkan makan minum saya sepanjang perkenalan kita semua. Akhir kalam salam sayang pengganti diri.
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
DARI SAYA DAN KELUARGA
0 comments:
Post a Comment