Dari segi definisi negara
ialah sebuah badan yang mempunyai organisasi yang tersusun seperti mempunyai
sistem politik, rakyat yang mempunyai latar belakang sejarah yang sama, tradisi
dan bahasa yang meletakkan kesemua penduduk di sesuatu kawasan tersebut dalam
satu bentuk kerajaan.[1]
Selain itu, konsep negara menurut perspektif undang-undang antarabangsa ialah
mempunyai empat ciri atau sifat yang membentuk sesebuah entiti atau kawasan
tersebut untuk diiktiraf sebagai sebuah negara di mana ia akan mendapat
pengiktirafan daripada organisasi antarabangsa dan juga negara lain, iaitu
mempunyai penduduk yang tetap, memiliki garisan sempadan, sistem pemerintahan
dan akhir sekali ialah mendapat pengiktirafan daripada negara-negara yang merdeka.[2] Oleh
itu, setiap negara yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa akan
mempunyai status yang berbeza-beza mengikut perspektif hubungan antarabangsa
iaitu berdasarkan saiz sesebuah negara, ekonomi, ataupun dasar sesebuah negara
tersebut. Walaupun setiap negara mempunyai status yang berbeza ia tetap
memainkan peranan yang tersendiri berdasarkan kapasiti sesebuah negara
tersebut. Namun begitu, peranan setiap negara amat berbeza disebabkan
sifat-sifat yang dimiliki oleh sesebuah negara berdasarkan status negara di
peringkat antarabangsa dan status tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian
iaitu negara kecil, sederhana dan besar. Kebiasaannya status ini melambangkan
kuasa yang dimiliki negara tersebut. Kesemua negara yang wujud di dunia ini
mempunyai sifat yang sama tetapi telah dibezakan mengikut kapasiti tertentu
dimana ia menjadi salah satu faktor yang menentukan status sesebuah negara
tersebut. Sifat yang pertama ialah saiz populasi sesebuah negara iaitu jumlah
penduduk yang terdapat dalam negara tersebut. Kedua ialah keluasan sesebuah
negara tersebut dimana ia turut menjadi penyumbang kepada status sesebuah
negara dan akhir sekali ialah ekonomi dimana ia akan menentukan kekuatan
sebenar sesebuah negara termasuklah menjadi tunjang kepada sesebuah negara
dalam membentuk sesuatu dasar terutamanya dari aspek pertahanan dan
ketenteraan.[3]
Dengan menilai tiga sifat ini akan dapat memberi perbezaan status setiap
negara.
Negara
Kecil (Small Power)
Umumnya, negara kecil amat
kurang sekali menjadi topik perbincangan hangat dalam arena antarabangsa akibat
peranan negara-negara besar yang mewarnai medan poltik antarabangsa dan sering
kali terlibat dalam segala isu termasuklah persaingan kuasa-kuasa negara besar.
Namun begitu, negara kecil tidak harus dipandang ringan kerana ianya mampu
memberi kesan ke atas arena antarabangsa malah menurut Hedley Bull “whether, however viable the small state
might be in international politics, it really presents a viable subject of
study.”[4]
Ia bererti, sekecil mana pun
sesebuah negara itu, ia tetap menjadi subjek dalam sesuatu kajian di peringkat
sistem hubungan antarabangsa (level of analysis). Kini, peranan negara kecil
turut memberi kesan ke atas sistem antarabangsa malah turut menarik perhatian
dunia. Sebelum berlakunya dua siri perang dunia, peranan negara kecil amat
kurang sekali malah jumlahnya juga sedikit sahaja kerana pada ketika itu
terdapat banyak negara besar serta pemerintahan empayar. Namun begitu,
kewujudan negara kecil ini mula bertambah selepas tamatnya siri peperangan
besar, era dekolonisasi dan terutama sekali selepas tamatnya era perang dingin.[5]
Dengan kewujudan negara-negara kecil telah mengubah arena politik antarabangsa
dengan dasar-dasar yang berbeza dengan negara yang lebih besar. Negara kecil
lebih banyak memainkan peranan dengan menjalinkan hubungan baik dengan negara
besar demi memastikan kestabilan dan juga keselamatan dari negara-negara lain.
Contoh negara-negara kecil yang menjalinkan hubungan baik dengan negara besar
ialah Singapura-Amerika Syarikat, ataupun Cuba-USSR(Rusia). Kebanyakan
negara-negara kecil ini cuba untuk mengimbangi kuasa dan ancaman daripada musuh
dengan menggunakan bantuan daripada negara besar yang secara tidak langsung
menarik perhatian negara besar untuk meluaskan pengaruhnya.
Sifat
Negara Kecil
Berdasarkan sifat-sifat
yang telah dinyatakan sebelum ini akan menjadi faktor kepada analisis status
negara kecil. Pertama, negara kecil kebiasaannya mempunyai jumlah penduduk yang
lebih kecil dan berkemungkinan besar melebihi daripada kepadatan berdasarkan
saiz negara kecil tersebut. Contohnya, Bosnia Herzegovina sebuah negara yang
baru sahaja merdeka pada 1 Mac 1992 setelah mengalami siri pembunuhan
besar-besaran oleh etnik Serbs dan negara tersebut pada tahun 2014 mempunyai
sekadar 3 834 944[6]
orang sahaja dan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa populasi negara
ini terlampau kecil malah jika di pandang dari sudut pertahanan jumlah penduduk
sebegitu belum mampu untuk membentuk ketenteraan yang lebih besar iaitu sekadar
mempunyai lebih kurang 50 000 orang sahaja.[7]
Manakala keluasan Bosnia Herzegovina pula ialah 51,129 km persegi.[8]
Berdasarkan saiz Bosnia Herzegovina sudah pasti menjadi ancaman kerana bentuk
muka buminya yang tidak besar serta dikelilingi oleh negara-negara lain
termasuklah Serbia dan Montenegro yang dianggap sebagai ancaman besar kepada
negara tersebut jika dipandang aspek sejarah pembunuhan besar-besaran di negara
tersebut. Sifat yang terakhir ialah ekonomi, di mana ia menentukan bagaimana
kekuatan sebenar negara tersebut iaitu sebanyak 17.85 bilion USD pada tahun
2013, ekonomi Bosnia Herzegovina menunjukkan peningkatan daripada sebelumnya malah
berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 18.2% (2007) kepada 17.9%
(2011).[9]
Namun begitu ia masih belum kukuh lagi dalam membantu pembangunan dalam negara
tersebut termasuklah aset-aset pertahanan yang kebanyakan sudah lama digunakan
seperti kereta kebal T-34, dan T-54/55, kenderaan berperisai seperti BTR-70,
dan banyak lagi aset pertahanan yang lama sebelum kemerdekaan Bosnia
Herzegovina lagi.[10]
Peranan
Negara Kecil di Arena Antarabangsa
Dengan mengambil contoh
seperti Bosnia Herzegovina, negara ini amat aktif sekali menjalinkan pakatan
ketenteraan dengan negara besar seperti Amerika Syarikat dan juga menjalinkan
hubungan bersama NATO (North Atlantic Treaty Organization) dan tidak banyak
melibatkan diri dalam konflik peringkat antarabangsa yang berbeza dengan
negara-negara besar yang kerap kali melaksanakan dasar campur tangan ke atas
negara-negara lain.
Negara
Pertengahan (Middle Power)
Negara pertengahan ini
berbeza sekali dengan peranan negara-negara besar tetapi terdapat sesebuah
negara pertengahan ini mempunyai kemampuan yang sama seperti negara besar iaitu
ekonomi yang kukuh, saiz negara yang besar tetapi jumlah populasi agak kecil
untuk saiz negara yang besar. Malah ada juga negara yang mempunyai saiz dan
populasi yang kecil tetapi mempunyai kedudukan
ekonomi yang amat stabil kerana faktor ekonomi adalah tunjang utama dalam
mengukuhkan status sesebuah negara. Kebiasaannya faktor yang membawa sesebuah
negara ini mendapat status negara pertengahan adalah disebabkan dua daripada
tiga sifat yang telah dinyatakan sebelum ini serta peranan negara pertengahan
ini di arena politik antarabangsa yang kemudiannya membawa negara pertengahan
ini lebih dikenali sebagai “good
international citizens” yang bertanggungjawab dalam melaksanakan dasar
diplomasi dengan negara lain dan kurang untuk masuk campur dalam urusan negara
lain tanpa usaha diplomasi terlebih dahulu dan juga lebih gemar untuk terlibat
dalam International Organization seperti International Monetary Fund, dan World
Trade Organization ataupun aktif dalam Intergovernmental Organization seperti
persidangan G20.[11]
Ciri-Ciri Negara Pertengahan
Negara Pertengahan
biasanya mempunyai dua kelebihan dalam tiga sifat iaitu populasi, saiz negara
dan ekonomi yang menyebabkan negara ini tidak menyerlah berbanding negara
besar. Sifat Negara Pertengahan ini boleh dilihat melalui Kanada yang mempunyai
saiz negara yang besar iaitu berada di tangga ke dua dunia selepas Rusia dengan
saiz 9984670 km persegi[12]
dan secara tidak langsung memberi kelebihan bentuk muka bumi yang luas dan
lebih selamat daripada sebarang ancaman. Malah Kanada juga mempunyai struktur
ekonomi yang kukuh dan secara tidak langsung dapat menjamin kestabilan negara
serta kadar pendapatan rakyat Kanada. Pendapatan Kanada pada tahun 2013 ialah
1.827 trilion[13]
dan secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada Kanada untuk menguatkan
lagi sistem pertahanannya iaitu membelanjakan sebanyak 18 000 000 USD demi
pembangunan aset-aset pertahanan dan berada di kedudukan ke 15 di dunia antara
negara yang paling banyak memperuntukkan bajet pertahanan[14]
tetapi Kanada tidak mempunyai populasi yang besar untuk menjadikannya sebuah
negara yang lebih kuat kerana penduduk Kanada hanyalah sebanyak 35,540,419[15]
orang dimana menyukarkan Kanada untuk memiliki tentera yang lebih besar.
Peranan Negara Pertengahan
Jika dilihat peranan
Negara Pertengahan seperti Kanada, ia turut menjalinkan hubungan dengan besar
tetapi lebih bersifat sebagai sokongan sahaja seperti mengikut dasar perang ke
atas Afghanistan dengan menghantar lebih kurang 40 000 tentera telah terlibat
bermula daripada tahun 2001 sehingga 2014.[16]
Namun begitu, Kanada lebih berminat melakukan persidangan dalam usaha untuk
menjaga keamanan di peringkat antarabangsa seperti menjalin hubungan
keselamatan dan keamanan di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).[17]
Selain itu, Kanada sebenarnya lebih aktif dalam melibatkan diri dengan misi
keamanan dan juga menjalin hubungan bersama NATO tetapi dasar pertahanan Kanada
mula dilihat semakin pasif selepas tahun 2006.[18]
Negara Besar (Large
States/Super Power)
Negara besar atau lebih
dikenali sebagai “Super Power” ialah negara besar yang mempunyai pengaruh besar
malah turut dianggap sebagai sebuah negara yang mempunyai kuasa hegemoni yang
mampu untuk memberikan kesan ke atas pembentukan sistem antarabangsa seperti
Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet semasa era perang dingin (Cold War) yang
menyaksikan persaingan kuasa antara kedua buah negara tersebut. Namun begitu,
Kedua buah negara ini diangkat status sebagai negara besar adalah kerana
kelebihan pada ketiga-tiga sifat yang dimiliki oleh negara besar tersebut yang
menjadi faktor dominan di peringkat antarabangsa. Menurut Alice Lyman Miller, “Super Power is a country that has the
capacity to project dominating power and influence anywhere in the world, and
sometimes, in more than one region of the globe at a time, and so may plausibly
attain the status of global hegemony”.[19] Negara berkuasa besar ini mampu untuk
membuatkan negara-negara lain terutamanya negara kecil untuk tunduk dan
mengikuti kehendak negara-negara besar. Kini terdapat sebuah negara yang telah
dianggap sebagai kuasa besar dan sering mendapat pengiktirafan sebagai negara
besar yang mampu untuk menyaingi kuasa besar yang lain seperti Amerika Syarikat
dan Rusia iaitu Democratic People of China (DPRC).
Ciri-Ciri Negara Besar
China telah mula mendapat
gelaran sebagai kuasa besar selepas berjaya mengukuhkan ekonominya di peringkat
antarabangsa malah turut menyaingi kedudukan ekonomi Amerika Syarikat. Ekonomi
China telah meningkat terutamanya pada tahun 2003 apabila mencatatkan GDP
sebanyak USD 1.159 trillion serta berada di kedudukan keenam dalam ranking
dunia malah turut mengalahkan status Kanada dan Itali sebagai negara
pengeksport dunia.[20]
Pada tahun 2013, GDP China telah meningkat kepada USD 9.240 trillion[21]
dalam 12 tahun sahaja China berjaya menjadi kuasa ekonomi besar dunia pada 2014
dengan mengalahkan Amerika Syarikat.[22]
Dengan kuasa ekonomi besar ini, China mampu untuk meluaskan pengaruh di
peringkat antarabangsa serta berkemampuan untuk membelanjakan sejumlah besar
dana untuk membangun ketenteraan dan pertahannya serta melancarkan lagi
pergerakan ekonomi China dimana negara ini telah berjaya menghasilkan ramai
jutawan setiap tahun. Populasi China yang besar juga turut menjadi faktor
kepada kuasa besar apabila mempunyai rakyat seramai 1.3 billion orang[23]
dan secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada China untuk mempunyai
lebih ramai tentera (749,610,775) dan seramai 2 juta tentera simpanan untuk
mengukuhkan pertahanan serta membelanjakan sebanyak 126,000,000,000 untuk
mengembangkan sistem pertahanannya.[24] Manakala
keluasan yang besar juga memberikan kelebihan kepada China daripada risiko
ancaman musuh apabila mempunyai bentuk muka bumi yang besar dan China juga
merupakan negara keempat terbesar di dunia dengan keluasan 9596961 KM persegi.
Secara tidak langsung, negara yang mempunyai saiz yang besar serta jumlah
rakyat yang lebih ramai mampu untuk menjamin keselamatan China sekiranya diserang
malah dua sifat inilah yang membuatkan China lebih berjaya untuk membangun
serta mencapai status ekonomi yang paling maju.
Peranan Negara Besar
Peranan China tidaklah
agresif seperti Amerika Syarikat yang sering melakukan dasar pencerobohan ke
atas negara lain tetapi China juga antara negara yang sering mendapat sambutan
hangat dalam menjalinkan hubungan keselamatan disebabkan kekuatan China yang
mampu mengimbangi kekuatan Amerika Syarikat dimana China banyak menjalinkan
hubungan dengan negara-negara yang tidak sependapat dengan Amerika Syarikat
tetapi masih menjalinkan hubungan ekonomi yang erat dengan negara besar itu.
Salah satu contoh China yang dikatakan cuba untuk mengimbangi kekuatan Amerika
Syarikat ialah dasar China menghalang resolusi untuk mengenakan tindakan tegas
ke atas Syria yang melakukan pembunuhan terhadap orang awam serta menghalang
campur tangan ketenteraan ke atas Syria dengan menggunakan kuasa Veto.[25]
Malah China juga semakin aktif menjalinkan hubungan di rantau lain seperti di
Amerika Latin dengan memberi pinjaman kewangan dimana secara tidak langsung
melebarkan sayap China ke rantau tersebut[26]
dan meluaskan pengaruh lebih kuat lagi berbanding Amerika Syarikat.
[3] Crowards Tom, (2002),
“Defining the Category of ‘Small’ States”, Journal
of International Development, 14, p. 144-145.
[4] Bull, Hedley (1968). Force in Contemporary International Relations.
Survival Vol. 10, Issue 9, p. 302.
[5] Ingrebritsen, Christine et al. (2006). Small States in
International Relations. Seattle: University of
Washington Press, p. 3.
[10]http://www.armyrecognition.com/bosnia_herzegovina_army_land_ground_forces_uk/bosnia_herzegovina_army_land_ground_armed_defense_forces_military_equipment_armored_vehicle_uk.html
[11] Cooper Andrew &
Jongryn Mo, (Mei 2013), Middle Power Leadership and the Evolution of the G20, Global Summitry Journal, m/s 1-3.
[15] Kanada, Economics and
Statistics Branch (Newfoundland & Labrador Statistics Agency), Annual Estimates of Population for Canada,
Provinces and Territories, from July 1, 1971 to July 1, 2014, 2014.
0 comments:
Post a Comment