Tuesday, 23 August 2011

MENITI KEMENANGAN DAN KEREDHAAN YANG TIDAK TERNILAI



Assalamualaikum dan salam kemenangan serta salam kemerdekaan buat semua..
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana telah memberi kita semua peluang dalam meraikan kedatangan Bulan Syawal yang bakal kita lalui tidak lama lagi, mungkin seminggu  lagi malah tinggal beberapa hari lagi dalam kita menanti kedatangan Bulan Syawal kali ini. Kalau kanak-kanak sibuk menyiapkan poket yang besar untuk mengumpul duit raya, bagi kita kemaafan adalah perkara yang mampu kita lakukan dalam menanti kedatangan Bulan yang mulia.

Bulan Syawal ini, bagi saya merupakan bukan kemenangan buat kita kerana telah berjaya  melalukan ibadah puasa yang penuh dengan dugaan dan kesabaran buat kita selaku manusia biasa yang tidak dapat  lari dari melakukan kesilapan dan adakala terlalu mengikut nafsu. Biarlah apa sahaja yang kita lakukan baik dalam perbuatan mahupun pertuturan dalam menahan nafsu manusia yang berbagai-bagai.

Disamping kita membuat persiapan dalam merayakan kedatangan Bulan Syawal yang mulia ini adakala hati ini rasa terharu dan sedih kerana takut Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat kita semua. Kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok hari, minggu hadapan malah tahun hadapan. Persoalannya adakah kita layak diberikan peluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan akan datang, kerana kita sendiri tidak tahu apakah amalan yang kita lakukan ini sudah cukup membuatkan kita berasa berbangga untuk berhadapan dengan Allah S.W.T. Semoga kita tidak mengalah dalam memanjatkan doa agar kita masih diberi kesempatan untuk bertemu dengan Kedatangan bulan Ramadhan yang akan datang.

Dalam kita tidak sabar menanti kedatangan bulan Syawal kali ini, kita jangan lupa pada orang yang tidak mampu, berilah apa sahaja dan semampu yang boleh kita lakukan dalam meringankan beban mereka yang kurang mampu. Mungkin ada yang tidak mampu memberi wang ringgit, tapi mereka boleh memberikan dengan cara yang lain seperti mengundang mereka untuk merayakan kedatangan syawal walaupun penuh dengan kesederhanaan.Itupun sudah cukup buat mereka. Banyak lagi cara kita untuk merayakan kedatangan syawal bersama masyarakat yang kurang mampu.Bak kata perpatah melayu, “BERAT SAMA DI PIKUL , RINGAN SAMA DI JINJING” Mungkin dengan cara ini kita semua mampu meringankan beban mereka seadanya. Insya Allah.

Rasanya sampai disini sahaja dapat saya kongsikan buat saudara mara, sahabat serta rakan-rakan yang amat saya sayangi. Di kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa buat semua, Halalkan makan minum saya sepanjang perkenalan kita semua. Akhir kalam salam sayang pengganti diri.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
DARI SAYA DAN KELUARGA

Saturday, 20 August 2011

Kelebihan Malam 1001 Bulan (Malam Lailatulqadar)



Alhamdulillah, roh kita masih berada di dalam dakapan jasad kita. Syukur kerana kita masih diberi peluang untuk melihat keindahan dunia ciptaan Allah Yang Maha Esa. Yang peling kita selalu lupa ialah masih diberi peluang untuk perbanyakkan ibadah dan masih diberi peluang untuk bertaubat.

Kita seharusnya bersyukur kerana kita kini masih diberi peluang untuk berada di hujung bulan yang penuh mendatangkan kerberkatan bagi kita selaku hambaNya yang mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Allah S.W.T. Setelah hampir sebulan kita berpuasa, menahan lapar dan minum serta di hujani dengan ujian dan kesabaran yang adakala membuatkan kita mengeluh. Kita tetap juga tempuh demi mendapatkan keberkatan dan keistimewaan yang telah dijanjikan oleh Allah.S.W.T didunia dan di akhirat kelak.

Terlalu panjang mukadimah yang ingin saya taipkan dilaman ini.Oleh itu baik kiranya saya ringkaskan bahawa malam yang ingin saya cuba ceritakan kepada pembaca ialah malam lailatulqadar yang di yakini bersamaan dengan 1001 bulan. Ramai yang terlupa atau tidak tahu atau hanya tahu nama tapi tak tahu kelebihanNya. Oleh itu saya ingin berkongsi ilmu yang saya tahu melalui bacaan di buku dan paparan rangkaian sesawang ini.

10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.

Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya:
 "Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya"

Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.

Maksudnya:
 "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."

Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar

Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: 
"Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu."

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:

Maksudnya: 
"Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.

Saya rasa ini saja yang dapat saya kongsikan kepada anda semua..Mungkin dalam coretan ini mempunyai banyak kesalahan ejaan. mungkin kerana asyik menaip sampai tidak sedar adanya kesalahan tersebut. Saya memohon maaf jika mengganggu kelapangan masaMu. Kerana bagi saya yang baik dan cantik adalah milik Allah S.W.T dan yang buruk datang dari diri saya sendiri selaku manusia yang lemah.
Malaysia Cheap Web Hosting